Menteri Pendidikan Palestin didakwa letak jawatan
Sumber dakwa ada kaitan siri mogok kumpulan guru, krisis kementerian

RAMALLAH 13 Safar 1445H, Rabu – Menteri Pendidikan Palestin, Dr Marwan Awartani dilaporkan meletak jawatannya pada mesyuarat Kabinet mingguan yang berlangsung di Ramallah, petang semalam.
Menurut sumber, peletakan jawatan Dr Marwan itu dibuat berikutan rombakan Kabinet yang akan dibuat dalam tempoh 24 jam.
Malah, sumber lain pula mendakwa, peletakan itu dibuat susulan siri mogok di sekolah-sekolah Palestin yang menyaksikan kumpulan guru menuntut kenaikan gaji berikutan peningkatan inflasi.
Siri mogok itu juga berlaku sebagai protes terhadap isu yang semakin meningkat dihadapi kementerian, termasuk krisis buku teks.
Bagaimanapun, ada sumber mendakwa, Perdana Menteri Shtayyeh menolak peletakan jawatan itu dan mungkin tidak menerima tindakan diambil Dr Marwan. – Agensi