PBB dedah ramai rakyat Asia Tenggara dipaksa jadi ‘scammer’
Mangsa berdepan layanan tak berperikemanusiaan, keganasan seksual

GENEVA, 13 Safar 1445H, Rabu – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan ratusan ribu rakyat di Asia Tenggara dipaksa untuk melakukan aktiviti penipuan dalam talian.
PBB dalam laporannya berkata, ramai individu diperdagangan untuk melakukan jenayah dalam talian dan berdepan pelanggaran serius seperti penyeksaan atau keganasan seksual.
Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk berkata, mereka yang dipaksa terbabit sindiket penipuan ini turut berdepan layanan tidak berperikemanusiaan termasuk melakukan jenayah.
“Mereka sebenarnya menjadi mangsa dan bukan penjenayah,” katanya.
Turk menjelaskan, skala aktiviti penipuan itu sukar diukur berikutan sikap berahsia dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara, selain terdapat jurang dalam tindak balas pihak berkuasa.
Bagaimanapun, daripada sumber yang boleh dipercayai menunjukkan kira-kira 120,000 penduduk di Myanmar dipaksa melakukan penipuan dalam talian.
Manakala, di Cambodia pula membabitkan 100,000 mangsa.
Laos, Filipina dan Thailand adalah antara negara lain di rantau ini yang dikenalpasti sebagai negara destinasi atau transit utama.- Agensi