Peta Standard China 2023: Malaysia hantar nota bantahan
Tuntutan sepihak China ceroboh kawasan maritim Malaysia di Sabah, Sarawak

PUTRAJAYA, 14 Safar 1445H, Khamis – Malaysia akan menghantar nota bantahan kepada China berhubung tuntutan mereka ke atas Laut China Selatan yang digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, itu adalah tindakan lanjut yang akan dibuat, selain menegaskan perkara itu menjadi amalan Malaysia dalam sebarang pertikaian.
“Wisma Putra sudah mengeluarkan kenyataan (semalam) dan amalan kita, kita akan buat nota bantahan itu kerana itu sudah menjadi amalan kita.
“Jadi, berdasarkan kenyataan yang sudah kita buat, kita akan ambil tindakan seterusnya termasuk menghantar nota bantahan,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Bagaimanapun, Zambry tidak menyatakan jangka masa nota bantahan itu diserahkan kepada China.
Pada hari Rabu (30 Ogos), Kementerian Luar berkata, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China, menegaskan bahawa peta itu tidak mempunyai kuasa mengikat ke atas Malaysia.
Peta itu, antara lain, memaparkan tuntutan sepihak China yang menceroboh kawasan maritim Malaysia di Sabah dan Sarawak, berdasarkan Peta Baharu Malaysia 1979.
Peta itu menggabungkan kawasan yang menjadi pertikaian khususnya membabitkan kawasan Arunachal Pradesh, wilayah Aksai Chin, Taiwan dan Laut China Selatan.
Ia turut membabitkan kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam.