Berita Utama

PRK: PN boleh bolot dua kerusi jika peratusan Melayu mengundi tinggi

PH mungkin boleh selesa sokongan Cina, tapi trend pengundi India beza

BANGI, 14 Safar 1445H, Khamis – Tidak mustahil Perikatan Nasional (PN) membolot kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 9 September ini, sekiranya peratusan keluar mengundi orang Melayu tinggi.

Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir juga tidak menolak kemungkinan keputusan itu, jika pengundi India turut memihak kepada calon PN di dua kerusi berkenaan.

Beliau berkata, demografi pengundi di Pulai dan Simpang Jeram menunjukkan ianya lebih kepada kerusi campuran – yang menurut beberapa penganalisis memihak kepada Pakatan Harapan (PH).

“Pulai punya 51 peratus pengundi Melayu, 37 peratus Cina dan 105 India. Manakala Simpang Jeram punya 55 peratus pengundi Melayu.

“Berdasarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri baru ini kerusi yang dengan peratusan pengundi Melayu seumpama ini agak sukar dikuasai PN.

“Namun demikian, segala-galanya tertakluk pada jumlah pengundi yang keluar mengundi pada hari mengundi. Kiranya jumlah pengundi Melayu keluar dengan peratusan yang tinggi, tidak mustahil PN boleh menang,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurutnya, PH mungkin boleh selesa dengan sokongan pengundi Cina sebagaimana dibuktikan dalam PRN enam negeri sebelum ini, namun berbeza pula dengan trend pengundi India.

Mengambil contoh PRN di Selangor, beliau mendakwa, ramai pengundi India mula beralih angin daripada PH kepada PN atas beberapa faktor.

Beliau percaya, jika peratusan keluar mengundi orang Melayu tinggi dan pengundi India pula berpihak kepada PN, tidak mustahil satu atau kedua-dua kerusi yang dipertandingkan boleh dibolot dan dimenangi calonnya.

“Sesungguhnya trend PRN enam negeri baru-baru ini kekal menunjukkan yang sentimen pengundi Melayu khasnya begitu ketara tidak selesa dan menolak PH-BN serta kepimpinan PM-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kecuali DAP yang menang 46 dari 47 kerusi yang ditandinginya, parti-parti lain yang prokerajaan merosot teruk prestasinya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button