Fahmi Fadzil tak tahu erti kebebasan media: Razali
Masalah bila lihat semua asakan, penulisan seperti tohmahan hendak jatuhkan kerajaan

BANGI, 15 Safar 1445H, Jumaat – Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat beberapa portal berita seolah-olah menunjukkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil tidak memahami erti kebebasan media.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, media sudah tidak bebas lagi terutama sejak di bawah rejim Menteri Komunikasi dan Digital ala madani ini.
“Terus-terang TokLi nak sebut, bahawa Menteri Komunikasi dan Digital ini tidak faham dan tidak mengerti akan maksud kritikan membina, pandangan kontruktif, pemikiran yang kritikal, penulisan yang tajam lagi benar dan fakta.
“Selain cadangan yang telus, asakan penulisan yang memberi peringatan dan media itu adalah suara rakyat, akar umbi dan kumpulan marhaen.
“Masalah sekarang menteri ini seolah melihat segala-galanya berbentuk subversif, cemuhan, tohmahan, hendak menjatuhkan kerajaan, menyentuh soal 3R dan segala pemikiran yang negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, Razali menegaskan tindakan menggunakan kuasa agensi di bawah kementerian iaitu SKMM amat mengancam terhadap amalan dan kebebasan media sekarang.
Beliau menyifatkan situasi ini sebagai sangat memalukan terutama sekali apabila lapan veteran media tempatan turut bersuara melahirkan kebimbangan masing-masing.
Justeru, beliau bersependapat dengan luahan lapan ‘otai’ media mengenai perkara ini iaitu iaitu Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk A Kadir Jasin, Datuk Hussamuddin Yaacob, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Dr Chamil Wariya, Datuk Yong Soo Heong, Datuk Zakaria Wahab dan Dr G Manimaran.
“Adanya kejadian menyekat Utusan TV, TV Pertiwi dan beberapa arus media serta ramai pengurusan TikTok, pempengaruh dan ribuan akaun media sosial disekat, ditutup dan digantung atas alasan penyebaran berita fitnah dan tidak betul sejak sembilan bulan lalu.
“Apa yang sebenarnya Menteri Komunikasi dan Digital ini hendak berbangga sangat mengenai kedudukan yang kononnya baik dari aspek kebebasan media di negara ini?
“Adakah menteri yang hanya tahu berkayuh basikal dalam pejabat, itu sahaja yang boleh dibanggakan?” soalnya.
Tegasnya lagi, dunia media dan komunikasi sudah jauh berbeza sekarang malah kandungan berita begitu dinamik dan akses yang dicapai melangkaui sempadan.
“Tidak hairanlah mengapa penolakan rakyat itu berlaku dan kini penolakan media juga mula berlaku akibat ada unsur-unsur penyalahgunakan kuasa demi kepentingan tertentu, itu yang TokLi merasainya.
“Tunggulah pada hari kebangkitan yang sebenar-benarnya,” katanya.