Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Pemuda UMNO lapor polis minta siasat kebocoran ‘memo dalaman’

Tidak ada maklum balas sahih jawab tuntutan kesahihan dokumen

BANGI, 15 Safar 1445H, Jumaat – Pemuda UMNO akan menggerakkan ahlinya di seluruh negara membuat laporan polis untuk menggesa siasatan dijalankan terhadap dakwaan kebocoran ‘memo dalaman’ Jabatan Peguam Negara (AGC) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang menyatakan siasatan sedang dijalankan untuk menyiasat kebocoran dokumen itu.

Bagaimanapun, katanya, Pemuda UMNO berasa terkilan kerana sehingga ke hari ini, tidak ada maklum balas sahih yang menjawab kepada tuntutan agar siasatan dijalankan sama ada dokumen itu berserta isi kandungannya sahih ataupun tidak.

“Mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saya juga telah mengeluarkan kenyataan pada 18 Ogos 2023 mendesak supaya satu siasatan dijalankan berkenaan kesahihan dokumen yang didakwa ‘memo dalaman’ Jabatan Peguam Negara bertarikh 10 Oktober 2019.

“Namun, amat mendukacitakan apabila Jabatan Peguam Negara telah mengumumkan bahawa Peguam Negara kini sedang bercuti sehingga beliau bersara kelak pada 6 September 2023,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Akmal berkata, tindakan Peguam Negara mengumumkan bercuti tanpa memberikan hasil siasatan dan maklum balas wajar kepada desakan Pemuda UMNO telah meninggalkan isu ini tergantung tanpa ada sebarang jawapan.

Bahkan, katanya, sehingga ke hari ini, tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengesahkan kesahihan dokumen itu.

Menurutnya, ia secara tidak langsung memberikan impak negatif kepada tahap keyakinan orang awam kepada Jabatan Peguam Negara.

“Maka yang demikian, atas dasar prihatin dan memegang teguh kepada Rukun Negara Malaysia yang ketiga dan keempat, Pemuda UMNO akan menggerakkan ahli-ahlinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis supaya satu siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

“Tindakan wajar diambil bagi mengembalikan keyakinan orang awam terhadap sistem perundangan Malaysia,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai satu dokumen didakwa ‘memo dalaman’ daripada AGC oleh pasukan pendakwaan bagi kes International Petroleum Investment Company (IPIC) bertarikh 10 September 2019, yang menyentuh mengenai enam pertuduhan dikenakan terhadap Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Difahamkan, isi kandungan dokumen yang tular itu berbentuk cadangan daripada pasukan pendakwaan berkenaan, yang sebulat suara mengambil pendirian bahawa enam pertuduhan dikenakan tidak memenuhi kehendak minimum untuk sesuatu pertuduhan pecah amanah (CBT) bagi mendapatkan kes prima facie.

Dokumen yang tular itu didakwa ditujukan kepada Tan Sri Tommy Thomas selaku Peguam Negara ketika itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button