PH-BN semakin terdesak
Rakyat wajar diberi maklumat benar, PM patut tunai janji lindungi kebebasan media

BANGI, 15 Safar 1445H, Jumaat – PAS menyifatkan langkah sekatan terhadap beberapa saluran media sejak kebelakangan ini sebagai terdesak.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau percaya tindakan itu dibuat berikutan bimbang dengan gelombang penerimaan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, beliau berkata, ia dilihat bercanggah dengan perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
“Bermula dengan laman sesawang MalaysiaNow dan terbaru ke atas TV Pertiwi, saya melihat kerajaan PH-BN semakin terdesak dan bimbang dengan gelombang penerimaan rakyat terhadap PN.
“Kita melihat sekatan kepada akses media ini adalah tindakan yang terdesak dan bercanggah dengan perjuangannya sebelum ini yang selalu membantah corak pentadbiran kerajaan terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru, beliau menggesa Perdana Menteri menunaikan ikrar bagi mempertahankan kebebasan bersuara dan melindungi kebebasan media seperti mana dijanjikan dalam manifesto pada pilihan raya lalu.
Pada masa sama, Tuan Ibrahim menyokong desakan Kumpulan Wartawan Kanan yang mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak bertindak seolah-olah sebagai “Big Brother” (dengan sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian).
Kelmarin, lapan veteran media tempatan menyatakan kebimbangan apabila kebanyakan kandungan portal berita yang dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ dan hanya pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan disekat SKMM.
Mereka dalam kenyataan bersama meluahkan kebimbangan apabila SKMM sejak akhir-akhir ini dilihat sering memanggil pengamal media untuk memberikan penjelasan berhubung kandungan yang dilaporkan menerusi portal berita dan laman dalam talian masing-masing.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk A Kadir Jasin, Datuk Hussamuddin Yaacob, Datuk Seri Azman Ujang dan Datuk Dr Chamil Wariya.
Turut serta dalam kenyataan bersama itu ialah Datuk Yong Soo Heong, Datuk Zakaria Wahab dan Dr G Manimaran.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, sudah sampai masanya rakyat dicelikkan dan difahamkan tentang sesuatu perkara dengan maklumat benar.
Atas dasar itu, katanya, kerajaan wajar memberi rakyat peluang mempertimbangkan pilihan mereka hasil daripada kebebasan bermaklumat.