RUU Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia dibentang bulan depan
Terbuka kepada sebarang cadangan daripada pertubuhan, masyarakat sivil

BANGI, 15 Safar 1445H, Jumaat – Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia diharapkan dapat dibentangkan di Parlimen pada bulan depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihaknya terbuka untuk menerima cadangan daripada pertubuhan hak kanak-kanak dan masyarakat sivil untuk draf RUU tersebut.
Katanya, cadangan berkenaan menggambarkan bagaimana mereka menyokong usaha perundangan kerajaan, sejajar dengan pendekatan “semua masyarakat”.
“Menjaga perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Kita mesti mewujudkan integriti nasional dengan memperjuangkan hak setiap kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, kerajaan komited untuk menegakkan hak kanak-kanak dan mengiktiraf kepentingan ketelusan dan badan pengawasan bebas, seperti pesuruhjaya kanak-kanak.
Malah, pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan pihak berkepentingan termasuk berbincang dengan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) di luar negara dan meneliti isu terbabit dengan teliti.
“Ia bertujuan untuk menubuhkan sebuah badan bebas bagi menegakkan hak semua kanak-kanak di Malaysia,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata, akta itu akan dibentang selepas Rang Undang-Undang Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dilulus dan dikuatkuasakan.