NIMP 2030 bakal tetapkan agenda penting bagi anjakan sektor pembuatan
Ini detik penting pembangunan perindustrian Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 Safar 1445H, Sabtu – Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 telah menetapkan agenda penting bagi sektor perkilangan Malaysia untuk mengorak langkah seterusnya menuju ke era perindustrian hijau yang baharu, kata kumpulan pemikir Socio-Economic Research Centre (SERC).
Pengarah Eksekutifnya, Lee Heng Guie, berkata, pelan induk itu telah memetakan hala tuju industri yang menyeluruh, strategi dan pendaya untuk mempersiapkan Malaysia bagi sektor dan industri pemangkin pertumbuhan baharu pada dekad-dekad akan datang.
“Ia adalah detik penting bagi pembangunan perindustrian Malaysia. Sektor pembuatan Malaysia perlu mempercepatkan IR 4.0, ambil kesempatan daripada teknologi pintar untuk meningkatkan asas pengeluarannya dalam rantaian nilai sambil mematuhi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan mencapai sasaran sifar bersih pelepasan karbon.
“Di tengah-tengah keadaan geo-ekonomi yang semakin sukar dan kesan perubahan iklim yang semakin meningkat, Malaysia memerlukan generasi baharu transformasi industri yang mampan untuk meningkatkan ekonomi bagi mengekalkan kelebihan yang kukuh dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Lee berkata, industri pembuatan domestik perlu mengukuhkan daya tahan dan daya saing mereka untuk mengatasi cabaran operasi yang disebabkan oleh konflik geo-ekonomi yang mengganggu rantaian bekalan, kekurangan sumber yang mengancam jaminan tenaga dan utiliti, dan gangguan perubahan iklim yang teruk.
NIMP 2030, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggunakan pendekatan berasaskan misi untuk memacu transformasi pembuatan dalam empat cara, iaitu, komplesiti ekonomi, menyegerakan pendigitalan, mendorong pelepasan karbon bersih-sifar, dan menjamin keselamatan ekonomi dan keterangkuman.
Sektor berimpak tinggi tersebut termasuklah elektrik dan elektronik (E&E), kimia, kenderaan elektrik, aeroangkasa dan farmaseutikal.
Lee berkata, pelaburan langsung domestik (DDI), terutamanya oleh usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), penting untuk menyokong ekosistem perindustrian.
“DDI yang digariskan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) adalah langkah positif untuk memudahkan dan meningkatkan kualiti pelaburan domestik.
“PMKS perlu diberi peluang untuk meningkatkan industri mereka secara berperingkat melalui integrasi yang menyeluruh dan menerima amalan hijau.
“Ini memerlukan pelaburan modal dalam memacu keupayaan teknologi dan pendigitalan, memastikan penawaran modal insan berkemahiran tinggi dan berasaskan pengetahuan yang mencukupi, dan yang lebih penting, akses kepada pembiayaan, geran dan dana pembangunan,” katanya.
Lee berpendapat memperkenalkan Dana Pelaburan Bersama Strategik NIMP dan Dana Pembangunan Perindustrian NIMP akan menyokong strategi, pelan tindakan dan projek berasaskan misi serta industri dan perniagaan, terutamanya PMKS.
Kerajaan mengumumkan akan memperuntukkan RM8.2 bilion untuk membiayai pelan tindakan NIMP 2030 sepanjang tempoh pelaksanaannya.
“Kami turut menyokong pelaksanaan model levi pelbagai peringkat untuk mengurangkan kebergantungan yang berlebihan kepada pekerja asing berkemahiran rendah tetapi levi itu tidak boleh terlalu tinggi semasa tempoh peralihan berikutan ia akan membebankan kos pekerjaan dan operasi PMKS dengan ketara,” katanya.
Memastikan daya saing PKS
Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Tan Sri Soh Thian Lai berkata menggunakan pendekatan berasaskan misi adalah penting untuk memastikan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beliau berkata, PKS masih belum menerimaguna teknologi terkini, yang hanya menjadikan betapa pentingnya untuk kerajaan menyokong mereka menerusi strategi berorientasikan misi.
“Pendekatan ini melibatkan penyediaan dana untuk kemudahan transformasi PKS yang membolehkan mereka (usahawan terbabit) berganjak ke arah operasi berorientasikan eksport – matlamat yang ingin kita capai. Terasnya adalah persepsi bahawa usaha yang berpandukan misi dan dilaksanakan secara berkesan, dapat mengukuhkan lagi tarikan pelaburan langsung asing.
“Keyakinan sedemikian pada akhirnya akan menarik pelabur asing selain pelaburan langsung domestik (DDI) yang berpotensi membuahkan hasil memberangsangkan. Ini akan turut mendorong integrasi industri ke dalam rantaian bekalan global,” katanya.
Soh juga menyifatkan usaha kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan juga sebagai amat penting, terutama dalam meningkatkan keupayaan ekonomi berasaskan pengetahuan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah Yin Shao Loong berkata NIMP 2030 juga tepat pada masanya berikutan pergerakan geopolitik yang banyak berlaku pada masa ini, khususnya dalam semikonduktor dan bidang lain.
“Oleh itu, adalah penting bagi Malaysia untuk mempunyai satu strategi untuk kemajuan masa depan yang terbaik bagi negara. Atas alasan itulah, kewujudan dasar seperti NIMP dengan perancangan selama tujuh tahun sehingga 2030, sememangnya penting dalam memastikan peralihan struktur sebesar ini dapat dilakukan.
“Anjakan terbesar adalah kita kini memberi tumpuan terhadap misi berbanding mencapai sasaran sektoral. Apabila melihat kerumitan ekonomi secara menyeluruh, ia menjadi cabaran yang meluas. Namun, dalam perkara tertentu, anda juga boleh memacunya daripada pelbagai saluran,” katanya.
Yin berkata, pelan induk yang baharu dilancarkan itu akan turut memberi petunjuk lebih jelas kepada pelabur mengenai keinginan rakyat negara ini di masa depan. – Bernama