Tahap perpaduan rakyat masih di takuk lama meski 66 tahun merdeka
Perubahan dalam pola pemikiran harus bermula segera: Ismail Sabri

BANGI, 16 Safar 1445H, Sabtu – Pendekatan untuk memupuk semangat perpaduan di negara ini wajar diubah bagi memastikan hasrat ke arah itu menjadi realiti.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob berkata, meskipun negara mencapai kemerdekaan selama 66 tahun, tahap perpaduan di negara ini masih di takuk lama dan masih timbul rasa syak wasangka antara satu sama lain.
“Kesepaduan sosial bukan hanya pada makanan atau pakaian tetapi cara pemikiran untuk memahami secara mendalam kepelbagaian yang wujud di negara ini bagi mencari titik persamaan.
“Defisit sosial sukar untuk dielakkan di negara ini tetapi jurang perbezaan persepsi dan pendapat dalam kalangan kelompok yang berbeza ini harus dirapatkan melalui usaha berterusan di semua peringkat” katanya dalam ruangan Jalar Fikir di Utusan Malaysia, hari ini.
Justeru, beliau melihat perubahan dalam pola pemikiran atau persepsi ini harus bermula segera dalam sesebuah keluarga.
Katanya, kerajaan dan pemimpin sekadar bertindak sebagai pemangkin untuk mengubah paradigma.
“Tetapi keluarga yang perlu memainkan peranan utama bagi menghakis rasa syak wasangka terhadap ras, kepercayaan dan perbezaan warna kulit.
“Rakyat di negara ini perlu hidup dalam sebuah keluarga besar iaitu Keluarga Malaysia yang saling lengkap melengkapi bukannya terpisah atas kepentingan peribadi dan politik,” katanya.
Beliau pada masa sama yakin kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyedari hakikat tersebut.
Katanya, enam nilai teras dalam dasar Malaysia Madani menitikberatkan soal perpaduan khususnya nilai kedua, keempat dan keenam iaitu Kesejahteraan, Hormat dan Ihsan.
“Konsep ini tidak memberikan sebarang makna sekiranya ada individu yang tindak dan tanduk serta ucapan mereka membentuk pemikiran rakyat masih dikongkong dengan pemikiran sempit,” katanya.