Tindakan senarai hitam Timbalan Presiden Muda ikut undang-undang: RoS
Keputusan dibuat selaras Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832)

BANGI, 16 Safar 1445H, Sabtu – Tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menyenarai hitam Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz dilakukan berpandukan kuasa yang termaktub di dalam Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).
RoS dalam kenyataan memaklumkan, senarai hitam itu dibuat berikutan pembatalan pendaftaran Persatuan Ekonomi Merdeka (No. Pendaftaran: PPM002-10-03112017).
“Ia juga dilakukan melalui notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 13(1)(c)(iv) pada 28 Oktober 2022 oleh Pendaftar Pertubuhan dan di bawah Seksyen 49 dalam akta sama.
“RoS ingin menegaskan bahawa tindakan yang dikeluarkan ini adalah berpandukan kepada segala proses siasatan dan undang-undang yang teratur,” katanya hari ini.
Semalam, Amira Aisya dilaporkan memperoleh kebenaran mencabar tindakan RoS menyenarai hitam dirinya sehingga tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam mana-mana pertubuhan berdaftar.
Kebenaran itu diberi oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Ogos lalu dan mahkamah menetapkan 14 September untuk pengurusan kes.
Berdasarkan afidavit sokongan, Amira Aisya memberitahu, dirinya bersama-sama beberapa aktivis lain membuat permohonan pada 16 April lalu melalui sistem dalam talian eROSES RoS untuk mendaftar sebuah pertubuhan bernama Persatuan Impak Wanita Malaysia (PIWM).
Bagaimanapun, dua hari kemudian pihaknya menerima e-mel daripada RoS Selangor yang memaklumkan permohonan pendaftaran PIWM ditolak berikutan disenarai hitam.
Keadaan itu menyebabkan dia tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan dalam persatuan.
Bagaimanapun, Amira Aisya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa mendakwa keputusan RoS adalah tidak tepat dan melanggar hak asasinya untuk menubuhkan persatuan seperti yang dijamin bawah Perlembagaan Persekutuan selain tidak munasabah dan berdasarkan pertimbangan tidak relevan.