Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Ahmad Fadhli bidas Nur Jazlan dakwa Johor mundur jika ikut Islam ala PAS

Ketua UMNO Pulai patut malu cadangan minta DAP pinda perlembagaan parti ditolak mentah-mentah

BANGI, 17 Safar 1445H, Ahad – Pemuda PAS menasihatkan Datuk Nur Jazlan Mohamed tidak ‘menyesatkan’ masyarakat dengan terminologi yang sengaja diada-adakan.

Ia susulan kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu bahawa Johor akan mundur dari segenap segi sekiranya corak pentadbiran kerajaan negeri mengikut acuan Islam dibawa PAS.

Nur Jazlan sebelum ini berkata, acuan Islam ala PAS yang diumpamakan seperti ‘Kerajaan Iran dan Taliban’ itu akan menyebabkan Johor ketinggalan dan tidak sesuai dengan negeri itu.

Justeru, beliau percaya pengundi di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram akan menghukum politik taasub dibawa PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 9 September depan.

Membidas dakwaan itu, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, tidak ada istilah ‘Islam ala PAS’ ataupun ‘Islam ala UMNO’ sebaliknya Islam adalah agama itu sendiri.

Menurutnya, pendekatan dan pemahaman selagi berdasarkan nas boleh dibahaskan secara ilmiah.

“Kononnya PAS akan membawa pendekatan ala Iran dan Taliban, ini bahasa yang digunakan oleh orang parti lain sebelum ini, rupa-rupanya sudah meresap masuk kepada pemikiran kepala pemimpin UMNO seperti Nur Jazlan.

“Dikatakan bahawa Johor akan jadi ‘mundur seperti Kelantan’ dan Kelantan tiada apa-apa.

“Jika nak dibahaskan, tahukah Nur Jazlan bahawa statistik pada 2019 menyebut bahawa Johor menjadi negeri yang paling tinggi permohonan guru untuk bertukar keluar dan Kelantan menjadi negeri paling tinggi guru yang mahu bertukar masuk?,” soalnya.

Ahmad Fadhli turut mempersoalkan kenapa guru-guru mahu memohon bertukar masuk ke Kelantan menempuh segala kesusahan dan kepayahan tiada kemajuan sekiranya benar negeri itu serba kekurangan.

Sebaliknya di Johor yang serba serbi maju pula, guru-guru berebut-rebut mahu keluar dari negeri itu.

“Ya, itu bukan satu-satunya indikator, tetapi jika mahu dikatakan bahawa Johor serba-serbi maju, Nur Jazlan belilah cermin dan tiliklah fakta terlebih dahulu.

“Tahukah Nur Jazlan bahawa lebih 100,000 penduduk Johor sedang bekerja di Singapura pada hari ini dan berulang-alik setiap hari?” soalnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, Ketua UMNO Bahagian Pulai itu patut malu dengan perkembangan hari ini apabila beliau terang-terangan meminta DAP meminda perlembagaan dan menggugurkan perjuangan ‘Malaysian Malaysia’ telah dibalas mentah-mentah oleh pimpinan parti itu.

“Nah, diludah sendiri oleh pimpinan DAP pada saat PRK Pulai sedang berlangsung. Aduh tidak malukah Nur Jazlan?,” sindirnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button