Pertempuran di Kirkuk, Iraq tegang
PM arah perintah berkurung elak keganasan terus meningkat

BAGHDAD, 17 Safar 1445H, Ahad – Seorang penunjuk perasaan ditembak mati manakala puluhan lagi cedera ketika pertempuran antara kumpulan etnik di bandar Kirkuk di utara Iraq yang tercetus selepas ketegangan beberapa hari, kata pasukan keselamatan dan polis.
Pertikaian itu tertumpu kepada penempatan sebuah bangunan di Kirkuk yang berfungsi sebagai ibu pejabat Parti Demokratik Kurdistan (KDP) pada masa lalu dan digunakan oleh tentera Iraq sejak 2017.
Kerajaan Pusat bercadang untuk mengembalikan bangunan itu kepada KDP sebagai tanda muhibah bagaimanapun penentang Arab dan Turkmen mendirikan kem di luar bangunan bagi membantah tindakan itu minggu lalu.
Keganasan tercetus apabila sekumpulan penunjuk perasaan Kurdish menghampiri kem itu pada Sabtu lalu, kata polis.
Pegawai keselamatan dan polis di bandar itu berkata, mereka sedang menyiasat keadaan bagaimana seorang penunjuk perasaan – warga Kurd – terbunuh dan pihak yang melepaskan tembakan.
Orang ramai daripada kedua-dua kumpulan penunjuk perasaan cedera apabila dibaling batu dan palang besi digunakan untuk menyerang, kata polis Kirkuk.
Perdana Menteri, Mohammed al-Sudani mengarahkan perintah berkurung di bandar itu bagi mencegah peningkatan keganasan, dan menggesa semua parti politik, pertubuhan sosial dan pemimpin masyarakat untuk memainkan peranan mereka dalam mencegah persengketaan serta memelihara keselamatan, kestabilan dan ketenteraman.
Tentera Kurdish menguasai bandar Kirkuk selepas menghalau kumpulan miitan pada 2014 tetapi telah diusir oleh tentera Iraq pada 2017 menjadikan bandar itu kembali di bawah kawalan Baghdad.
Apabila Sudani mengambil alih kuasa tahun lepas, beliau berusaha untuk memperbaiki hubungan antara kerajaannya dan KDP serta bersetuju membenarkan KDP membuka semula ibu pejabatnya di Kirkuk.
Bagaimanapun penduduk Arab dan kumpulan minoriti mendakwa, mereka menderita di bawah pemerintahan Kurdish justeru memprotes kepulangan KDP. – Agensi