Anwar tak mahu jadi PM jika prinsip Perlembagaan dipertikai
Pembangkang tak perlu bangkitkan isu takut-takutkan orang Melayu

MUAR, 18 Safar 1445H, Isnin – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sama sekali tidak mahu menjadi Perdana Menteri sekiranya prinsip-prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam dipertikai.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, justeru, pihak tidak bertanggungjawab terutama pembangkang tidak perlu membangkitkan isu terbabit untuk menakut-nakutkan orang Melayu.
“Siapa yang boleh pertikai kepimpinan Melayu, kuasa Melayu, Islam agama persekutuan, Bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu, tidak ada.
“Kawan-Kawan kita dalam DAP, MIC, MCA bahkan PKR yang bukan Melayu tidak pernah pertikai itu dan saya tidak mahu jadi Perdana Menteri sekiranya prinsip-prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan dipertikai,” katanya.
Belia berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan MADANI Pilihan Raya Kecil (PRK) N13 Simpang Jeram di Sungai Abong di sini malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching serta calon PH bagi kerusi itu, Nazri Abdul Rahman. – Bernama