Berita UtamaDunia

Kuwait lantik Fahd Al-Jalallah Menteri Kewangan

Perbalahan politik, krisis institusi halang pembaharuan

KAHERAH, 18 Safar 1445H, Isnin – Kuwait melantik Fahd Abdulaziz Al-Jallah sebagai Menteri Kewangan susulan peletakan jawatan pendahulunya pada Julai.

Fahd mengambil alih jawatan itu daripada Manaf Abdulaziz Al Hajri yang hanya menggalas tugas itu sejak April tahun ini.

Menteri Minyak, Saad Al Barrak menjadi pemangku Menteri Kewangan selepas Manaf meletak jawatan.

Dilantik sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Kewangan pada Ogos, Fahd merupakan seorang ahli perniagaan yang pernah berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Bank Komersial Kuwait dan Syarikat Pelaburan Kewangan Noor.

Kuwait mempunyai antara rizab minyak terbesar dunia dan dasar fiskal serta luaran yang kukuh, bagaimanapun perbalahan politik dan krisis institusi menghalang pelaburan dan pembaharuan yang bertujuan mengurangkan pergantungan pada hasil minyak.

Antara pembaharuan utama yang mengalami kelewatan adalah undang-undang hutang awam yang membolehkan Kuwait meminjam daripada pasaran antarabangsa – yang menghadapi tentangan daripada Ahli Parlimen.

Kerajaan memerlukan kelulusan Parlimen untuk usul pembaharuan.

Pertumbuhan di Kuwait dijangka perlahan dengan ketara tahun ini berikutan harga minyak yang lebih rendah dan pengurangan pengeluaran minyak dan belanjawannya untuk tahun fiskal 2023/24 – yang diluluskan bulan lepas – meramalkan defisit belanjawan sebanyak AS$22 bilion.

Bulan lalu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata, risiko terhadap prospeknya kekal besar sebahagiannya disebabkan ketiadaan pembaharuan fiskal yang diperlukan.

Ia ditambah pula pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perlahan – hanya 0.1 peratus tahun ini selepas pertumbuhan 8.2 peratus pada 2022. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button