Pejabat mufti nasihat ahli politik hati-hati keluar kenyataan berkait fatwa
Jaga adab ketika berkempen, mohon pelihara institusi fatwa

BANGI, 18 Safar 1445H, Isnin – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan, terutamanya yang berkaitan dengan fatwa dan hukum syarak.
Peringatan itu dikeluarkan PMWP hari ini, susulan merujuk kenyataan daripada salah seorang pemimpin parti politik dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK), baru-baru ini.
Menurut pejabat itu, institusi mufti adalah pihak berautoriti untuk menyiarkan dalam warta berkenaan sesuatu fatwa atau memberikan pendapat berhubung perkara yang menimbulkan pertikaian dari sudut syarak berdasarkan Akta 505 Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.
“Pengeluaran fatwa daripada mufti adalah berdasarkan kepada perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, atas kehendak mufti sendiri atau melalui permohonan secara bertulis.
“Sehubungan itu, pihak kami amat berharap agar ahli politik di negara ini dapat memelihara kemuliaan institusi diraja dan institusi fatwa serta menjaga adab ketika berkempen,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi kenyataan itu, PMWP turut berkongsi semula artikel soal jawab Bayan Linnas Siri ke-260: Etika dan Adab Pilihan Raya serta Bayan Linnas Siri Ke-269: Membina Negara Dengan Politik Yang Beretika.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dalam ceramah Perdana di Pulai didakwa meletakkan hukum ‘haram’ bagi mereka yang mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat.
Muhyiddin mendakwa, tindakan tidak mengundi Suhaizan itu perlu bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan Kerajaan Perpaduan didakwa tidak membantu rakyat dalam kesusahan.