Berita Utama

Polis siasat Muhyiddin isu haram undi calon PH

PDRM akan ambil keterangan Pengerusi PN masa terdekat

KUALA LUMPUR, 18 Safar 1445H, Isnin – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Sabtu ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dilakukan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Beliau berkata, PDRM menerima satu laporan mengenai kenyataan Muhyiddin itu yang dibuat di sebuah balai polis di sini dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. 

“Tindakan selanjutnya polis akan mengambil keterangan beliau (Muhyiddin) dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sabtu lepas, Ahli Parlimen Pagoh itu semasa Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas di Johor Bahru, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa “haram memberikan undi kepada Suhaizan.”

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 5 September dan hari mengundi pada 9 Sept ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button