Berita Utama

Sudah dijangka, DAP tak tunduk gertakan UMNO

UMNO hilang hala tuju, dirosakkan pemimpin sendiri

BANGI, 18 Safar 1445H, Isnin – Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sudah menjangka pemimpin DAP tidak akan tunduk desakan supaya menggugurkan slogan Malaysian Malaysia dan negara sekular.

“Penegasan supremo DAP, Anthony Loke bahawa DAP tidak akan menggugurkan dasar perjuangan Malaysian Malaysia dan negara sekular adalah satu tamparan kepada UMNO.

“Supremo UMNO tiada pilihan melainkan meremehkan pandangan Nur Jazlan sebagai pandangan peribadi, walaupun sebenarnya pandangan tersebut adalah dasar perjuangan UMNO yang cuba digadai presidennya.

“Jelaslah UMNO sudah hilang hala tuju dan memang patutlah orang Melayu rata-rata terus menerus menolak dan meninggalkan parti tersebut,” kata Annuar menerusi hantaran di Facebook beliau.

Beliau berkata, saranan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram nampaknya tidak diendahkan DAP kerana mereka yakin kekal kuat dengan sokongan kaum Cina.

Sedangkan katanya, UMNO dilihat lemah dan tiada nilai tambah buat DAP.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, syor supaya DAP menggugurkan agenda negara sekular dan konsep Malaysian Malaysia dalam Perlembagaan parti itu disifatkan sebagai pandangan peribadi Nur Jazlan

Nur Jazlan menyarankan, semua pihak dalam gabungan Kerajaan Campuran terutamanya DAP supaya berubah menjadi parti yang lebih sederhana jika mahu diterima orang Melayu.

Memetik apa yang diperkatakan, tiada cara lain untuk meyakinkan orang Melayu bahawa DAP hari ini sudah berbeza berbanding sebelumnya iaitu dengan meminda Perlembagaannya berhubung konsep Malaysia Malaysia dan ‘perlembagaan sekular’.

Dalam pada itu, Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN) menegaskan, UMNO telah dirosakkan oleh pemimpinnya sendiri namun pihak itu cuba menuding jari kepada orang lain khususnya kepada pengkritiknya.

“Punca penyakit begitu jelas sekali, namun tubuhnya telah hilang segala antibodi dan tidak berupaya melawan penyakit yang dihidapi.

“Akibatnya ia bakal mati perlahan-lahan,” katanya.

Pautan terdahulu;

DAP mesti tinggalkan ‘Malaysian Malaysia’ jika benar junjung Perlembagaan


https://ismaweb.net/2023/09/02/dap-tegaskan-tiada-keperluan-gugur-agenda-negara-sekular-malaysian-malaysia/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button