Tun M percaya PN perjuang nasib Melayu tanpa aniaya bukan Islam
Bekas PM zahir sokongan meskipun bukan ahli

BANGI, 18 Safar 1445H, Isnin – Meskipun bukan ahli Perikatan Nasional (PN), bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap menzahirkan sokongan kepada gabungan parti ini.
Ini kerana baginya, PN memperjuangkan nasib orang Melayu-Islam tanpa menganiaya orang bukan Islam.
“Ramai orang Melayu sokong walaupun tidak menjadi ahli PN tetapi mereka sokong, sikit sebanyak ada kesan sokongan mereka.
“Sebab itu saya setuju untuk bersama dengan PN, saya bukan ahli tetapi saya sokong,” katanya ketika berucap dalam ceramah Mega PN di Simpang Jeram, malam tadi.
Pemimpin berusia 98 tahun itu berkata, sokongan orang ramai yang beralih kepada PN yang mempertahankan nasib Melayu-Islam membuatkan Perikatan Harapan (PH) semakin ‘panas’.
Katanya, perkara berkenaan terbukti ketika proklamasi orang Melayu dianjurkan bagi membincangkan masalah kaum tersebut.
“Kita telah buat satu proklomasi masalah orang Melayu. Apa salahnya? Cuma nak cakap pasal masalah orang Melayu. Kita bukan nak sentuh orang lain,” katanya.
Dr Mahathir turut berpandangan, kerajaan Madani hari ini dilihat bercanggah dengan reformasi dan kebebasan bersuara yang mereka pernah perjuangkan sebelum ini.
Malah, rakyat kini ditakut-takutkan dengan pelbagai penguatkuasaan undang-undang untuk menyekat suara rakyat.
Justeru beliau berkata, rakyat perlu menunjukkan kuasa menzahirkan ketidakpuasan hati berkenaan dengan menolak sokongan mereka.
“Kita kena tunjuk kepada dia betapa kita tak sokong dia.
“Oleh itu pada hari pengundian keluarlah beramai. Orang Melayu keluar sebagaimana orang Cina keluar, 100 peratus keluar, undi PN,” katanya.