Israel buka kedutaan di Bahrain secara rasmi walau dibantah
Rakyat Palestin sifatkan normalisasi sebagai tikam dari belakang

MANAMA, 19 Safar 1445H, Selasa – Israel secara rasmi membuka kedutaannya di Bahrain walaupun mendapat bantahan meluas berikutan normalisasi hubungan rejim Al Khalifah dengan entiti haram itu.
Majlis itu diadakan di ibu negara Manama pada hari Isnin dengan kehadiran Menteri Luar Bahrain, Abdullatif Al Zayani dan rakan sejawatannya dari Israel, Eli Cohen serta beberapa ahli perniagaan dan pegawai Bahrain.
Cohen berkata, ketika majlis perasmian Manama dan Tel Aviv telah bersetuju untuk meningkatkan bilangan penerbangan terus, pelancongan, jumlah perdagangan dan pelaburan.
Terdahulu, Menteri Luar Israel bertemu Putera Mahkota Bahrain Salman bin Hamad Al-Khalifa dan membincangkan ‘pentingnya memajukan projek perdagangan bebas’ antara kedua-dua pihak.
Pembukaan kedutaan Israel di Bahrain berlaku tiga tahun selepas rejim Al Khalifah dan Emiriah Arab Bersatu menandatangani perjanjian normalisasi yang dikelola Amerika Syarikat (AS) dengan Israel dalam satu acara di Washington.
Sudan dan Maghribi juga mengikutinya dan menandatangani perjanjian normalisasi yang sama yang diusahakan oleh AS dengan rejim pendudukan.
Orang ramai di Bahrain mengadakan perhimpunan mengutuk normalisasi hubungan rejim Manama dengan rejim Israel, dan menyatakan solidariti dengan tahanan politik.
Rakyat Bahrain telah berulang kali menyatakan bantahan mereka terhadap normalisasi hubungan dengan rejim Israel.
Kumpulan pembangkang utama Bahrain al-Wefaq dan ulama terkemuka kerajaan Sheikh Isa Qassim juga telah berulang kali mengutuk langkah normalisasi oleh dinasti Al Khalifah.
Tindakan itu mencetuskan kecaman meluas daripada rakyat Palestin serta negara dan penyokong hak asasi manusia di seluruh dunia, terutama dunia Islam.
Rakyat Palestin mengecam perjanjian itu sebagai “tikam dari belakang” dan pengkhianatan terhadap perjuangan mereka menentang pendudukan Israel selama beberapa dekad. – Agensi