Israel henti import dari Gaza
Dakwa terdapat cubaan seludup bahan letupan dalam trak pakaian

BAITULMAQDIS, 19 Safar 1445H, Selasa – Ketua tentera negara haram Israel memberi arahan menghentikan semua import dari Gaza selepas dakwaan cubaan menyeludup bahan letupan.
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, pegawai yang mengawal sempadan antara Israel dan kawasan Palestin mengesan beberapa kilogram bahan letupan berkualiti tinggi, tersembunyi dalam penghantaran pakaian yang dibawa oleh tiga trak di persimpangan Kerem Shalom.
Ketua kakitangan tentera, Herzi Halevi, dengan kelulusan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, mengarahkan penghentian penghantaran komersial dari Gaza ke Israel dan membenarkan pelarasan keselamatan dibuat di persimpangan.
“Penghantaran akan disambung semula mengikut penilaian situasi berikutnya,” katanya.
Kenyataan itu mendakwa, Israel tidak akan membenarkan kemudahan awam dan kemanusiaan bagi tujuan digunakan untuk tujuan ‘keganasan’.
Semenanjung Gaza berada di bawah sekatan Israel sejak Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) merampas kuasa di sana pada 2007.
Persimpangan Kerem Shalom adalah satu-satunya pintu masuk untuk barangan antara kawasan dikepung dan Israel.
Perkembangan pada Isnin tercetus di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di Tebing Barat yang diduduki.
Keganasan daripada konflik Israel-Palestin telah melonjak dan meragut nyawa sekurang-kurangnya 225 rakyat Palestin setakat tahun ini.
Menurut data AFP berdasarkan sumber rasmi kedua-dua pihak, sekurang-kurangnya 32 warga Israel, seorang warga Ukraine dan seorang warga Itali turut terbunuh.
Mereka termasuk di pihak Palestin, pejuang serta orang awam dan di pihak Israel serta tiga ahli minoriti Arab. – Agensi