Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Kenapa Dr Mahathir tak boleh duduk diam?

King Sing mahu bekas PM henti kelirukan orang ramai isu 3R

JOHOR BAHRU, 19 Safar 1445H, Selasa – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meminta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhenti mengelirukan orang ramai terutamanya melibatkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Beliau berkata, mana-mana pemimpin di negara ini seharusnya mencontohi sikap Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berdiam diri dan terus mendoakan kesejahteraan untuk negara ini.

“Saya minta Dr Mahathir belajar dengan Abdullah, apabila berundur diri, beliau terus diam. Sampai hari ini beliau diam dan tidak bising.

“Sebaliknya mendoakan untuk negara kita. Kenapa Dr Mahathir tidak boleh duduk diam?,” katanya berucap pada program Jamuan Perpaduan Bersama Masyarakat Cina di Taman Bukit Indah di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang juga Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat.

Sementara itu, Tiong yang juga ahli Parlimen Bintulu berkata, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu menggunakan sentimen menghukum yang boleh menimbulkan salah faham kerana Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. 

“Sekarang kita nampak dan dengar macam-macam cerita daripada PAS. PAS buat ibarat (hanya ada) satu bangsa, satu agama sahaja di Malaysia.

“Mungkin Muhyiddin terlupa Malaysia ada berbilang kaum dan agama, kenalah saling hormat-menghormati. Janganlah jadi batu api hanya kerana mahukan undi rakyat,” katanya. 

Pada masa yang sama, Tiong turut berharap masyarakat memberi peluang dan masa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan ekonomi negara.

Sabtu lepas, Muhyiddin semasa Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas di Johor Bahru, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa haram hukumnya bagi mereka yang mengundi Suhaizan pada PRK Parlimen Pulai. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button