Kes Zahid: DAP tuntut AG beri penjelasan terbuka
Penting pastikan keyakinan orang ramai terhadap sistem perundangan negara

KUALA LUMPUR, 19 Safar 1445H, Selasa – DAP menuntut Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun memberikan penjelasan terbuka susulan keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, penjelasan ini penting memandangkan terdapat pelbagai pandangan kritikal mengenai keputusan itu daripada pelbagai pihak.
“DAP mengambil maklum pandangan kritikal pelbagai pihak dan orang ramai berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan tampa membebaskan, 47 kes melibatkan Ahmad Zahid.
“DAP menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun harus memberikan penjelasan terbuka berkenaan faktor yang mendorong kepada keputusan tersebut,” katanya menerusi akaun Facebook rasminya hari ini.
Semalam, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.
Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan berkaitan penyelewengan dana, rasuah, dan pemindahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi yang ditubuhkannya.
Loke menyebut bahawa mereka maklum permohonan DNAA daripada pihak pendakwaan untuk menamatkan prosiding sementara membuat siasatan lebih terperinci adalah budi bicara Peguam Negara dan diputuskan oleh mahkamah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, penjelasan mengenai keputusan ini adalah penting untuk memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara.
“DAP juga akan sentiasa menjunjung prinsip pengasingan kuasa di antara cabang kehakiman, eksekutif dan legislatif serta memastikan tidak ada campur tangan eksekutif dalam sebarang kes mahkamah,” katanya.