Berita Utama

Supaya adil, Pemuda UMNO desak Tommy Thomas perjelas isu pembebasan Guan Eng

Tindakan undang-undang perlu diambil jika pertuduhan terpilih

BANGI, 19 Safar 1445H, Selasa – Pemuda UMNO menggesa bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas memberi penjelasan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Lim Guan Eng atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran pada 2018 lalu.

Gesaan disuarakan Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh ekoran desakan DAP supaya Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memberi penjelasan terbuka susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

“Untuk berlaku adil saya menggesa bukan sahaja Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun perlu memberikan penjelasan, tetapi Tommy Thomas selaku mantan Peguam Negara sebelum ini yang membebaskan kes Lim Guan Eng juga perlu memberikan penjelasan.

“Malah Tommy Thomas juga perlu menjelaskan apakah yang dimaksudkan dalam buku beliau yang beliau terlibat secara langsung dalam mengatur beberapa pendakwaan terhadap individu-individu politik ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Pada masa sama, Akmal menggesa Tommy Thomas menyatakan sama ada benar atau tidak mengenai beberapa dokumen yang telah tersebar terhadap kes Datuk Seri Najib Razak yang mana walaupun tidak mempunyai bukti untuk kes prima facie tetapi beliau tetap meneruskan pertuduhan.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia juga menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dapat dijalankan dengan segera untuk menyiasat apa yang terkandung di dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ tulisan Tommy Thomas yang dilantik oleh mantan Perdana Menteri ke-7.

“Jika ada salah laku ataupun pertuduhan terpilih yang dibuat ketika itu, maka satu tindakan undang-undang perlu diambil bagi memberi pengajaran kepada mana-mana pemimpin agar tidak sesuka hati mereka mempergunakan kuasa yang ada kepada mereka,” katanya.

Pada 2018, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo.

Ia berkait dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button