Zahid dilepas tanpa bebas: Sokongan pada PH dijangka terkesan
‘Mungkin ahli UMNO bakal tuntut Najib pula dibebaskan selepas ini’

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 19 Safar 1445H, Selasa – Keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi memberikan ‘bola tanggung’ kepada pembangkang.
Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, isu ini terdedah kepada pelbagai persepsi, maka sudah tentu parti pembangkang terutama PAS dan Bersatu tidak akan melepaskan ‘peluang’.
Beliau yakin pembangkang akan menggunakan isu ini sebagai topik kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang serentak diadakan pada Sabtu ini.
“Ada kemungkinan isu Ahmad Zahid ini memberi manfaat kepada Perikatan Nasional (PN) kerana pembebasan Presiden UMNO digambarkan seolah-olah satu perancangan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini melaungkan reformasi dan penghapusan rasuah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Dr Mazlan berpandangan, kesan daripada isu Ahmad Zahid ini kepada PRK di Johor akan berbeza-beza terutama sekali bagi penyokong UMNO.
“Tentulah mereka gembira kerana pemimpin mereka telah dibebaskan dan mengesahkan jangkaan mereka bahawa pendakwaan ke atas Zahid Hamidi adalah pendakwaan bersifat politik.
“Malah mereka juga percaya apa yang berlaku pada Datuk Seri Najib Razak juga tuduhan bersifat politik.
“Jadi di kalangan orang UMNO mereka akan gembira, dan pastikan Najib juga akan bebas,” katanya.
Namun, secara keseluruhannya selepas keputusan kes Ahmad Zahid ini, rakyat akan mempersoalkan kerajaan daripada segi kesungguhan menghapuskan rasuah.
“Kemungkinan perkara ini sedikit memberi kesan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang bergabung dalam kerajaan campuran,” katanya.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.
PRK Parlimen Pulai bakal menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon PH, Suhaizan Kaiat, calon PN, Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.
Sementara di kerusi Simpang Jeram, perebutan melibatkan calon PH iaitu Timbalan Ketua Amanah kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman; calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya yang juga pakar perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular; serta calon Bebas, S Jeganathan.