Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Gelombang hijau kurang serlah di Johor

Legasi Salahuddin Ayub sukar ditandingi calon parti lain

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 20 Safar 1445H, Rabu – Legasi kecemerlangan khidmat Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dilihat sukar ditandingi calon parti lain yang bakal bersaing pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Sabtu ini.

Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), undi yang diperolehi Pakatan Harapan (PH) sangat memberangsangkan kerana majoriti yang diperolehi begitu besar. 

Ketika itu, PH memperoleh majoriti 33,000 undi di Parlimen Pulai dan majoriti 2,600 undi di DUN Simpang Jeram.

Bagi PRK kali ini, penganalisis politik, Shahbudin Embun berpandangan, demografi pengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram juga dilihat memihak kepada PH-Amanah. 

“Komposisi pengundi mengikut kaum di kawasan tersebut adalah 44.17 peratus Melayu, 40.47 peratus Cina dan 12.30 peratus dari kaum India. 

“Pengundi bukan Melayu hampir pasti tidak akan mengundi Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada Ismaweb.net.

Pada masa sama, beliau berkata, peruntukan RM500 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menaik taraf Hospital Sultanah Aminah (HSA) termasuk pembinaan blok baharu dan parkir bertingkat akan memanfaatkan penduduk kawasan Pulai. 

“Peruntukan ini telah dimohon oleh kerajaan negeri pada tahun lepas dan sudah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

“Ini buktinya kerajaan negeri dan Pusat haruslah selari bagi memudahkan urusan peruntukan,” katanya lagi.

Justeru, beliau melihat ‘angin syurga’ yang ditiupkan PN tidak mampu untuk meyakinkan pengundi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. 

“Gelombang hijau yang berlaku di utara tanah air juga telah tersekat di Negeri Sembilan baru baru ini,” katanya.

PRK Parlimen Pulai menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon PH, Suhaizan Kayat, calon PN, Zulkifli Jaafar serta Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon Bebas.

Manakala di Simpang Jeram juga berlaku saingan tiga penjuru antara calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya, calon PH Nazri Abdul Rahman dan seorang calon Bebas, S Jeganathan.

Untuk rekod DUN Simpang Jeram mempunyai 40,488 pengundi yang terdiri daripada 21,005 Melayu (51.87 peratus), 18,052 (44.58 peratus), 1,027 India (2.53 peratus) dan lain-lain bangsa 404 orang (0.99 peratus).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button