KPM jangan tunduk keluarkan lima hadis dari modul asal
Besar implikasinya, seolah ada hadis tak sesuai untuk muslim di Malaysia

BANGI, 20 Safar 1445H, Rabu – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa bertegas mempertahankan modul asal Hadis 40 Imam Nawawi dalam pelaksanaannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.
Ini susulan, dakwaan Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy bahawa KPM telah mengeluarkan lima hadis daripada modul asal Hadis 40 Imam Nawawi.
Arun yang juga seorang peguam mendakwa, tindakan KPM itu dimaklumkan kepadanya oleh Persatuan Hindu Sangam Malaysia (MHS).
Dakwanya, lima hadis dikeluarkan itu, termasuk hadis ke-8 daripada hadis 40 tersebut, kerana dianggap tidak selari dengan aspirasi perpaduan.
Mengulas perkara itu, pengamal undang-undang, Lukman Sheriff menegaskan, terlalu besar implikasi yang akan berlaku sekiranya KPM tunduk kepada langkah mengeluarkan lima hadis daripada modul asal.
“(Ia) seolah-olah ada hadis tak sesuai untuk muslim di Malaysia. Nanti anak kita ada ‘impression’ agama kita tak betul. Bahaya ini.
“Agama Islam patut muslim tentukan. Dan amalan muslim di sini adalah amat toleran dan bertolak ansur. Kita hidup bersama semua bangsa dan agama dengan aman damai cukup,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan, setiap toleransi dengan bangsa dan agama lain perlu ada had, apatah lagi dalam urusan membabitkan agama Islam.
“Kita ‘kind’ berbaik terhadap semua bangsa. Semua ini ajaran Islam amalan kita. Tak boleh tengok ‘in silo’ dan memilih-milih hadis. Tak betul ni.
“Toleransi kita pun mesti ada had. Minta sangat kerajaan buat yang betul. Kita di belakang KPM pertahan Hadis 40 ini. Bukankah ini isu 3R juga?,” katanya.
Sebelum ini, KPM memaklumkan program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi akan dilaksanakan dengan melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.
Ia dilancarkan pada 19 Ogos dan diperkenalkan untuk memupuk kefahaman dan penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah.
Meskipun telah dijelaskan bahawa pelaksanaan modul itu hanya untuk guru dan pelajar beragama Islam, ia tetap menjadi polemik khususnya dalam kalangan bukan Islam sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.