Dunia

Perancis sekat pelajar muslim berjubah ke sekolah

67 pelajar tak patuhi larangan telah dihantar pulang, diberi surat

PARIS, 20 Safar 1445H, Rabu – Sekolah-sekolah di Perancis tidak membenarkan puluhan pelajar perempuan beragama Islam meneruskan sesi persekolahan kerana tidak mematuhi larangan pemakaian jubah.

Hampir 300 pelajar muslim hadir ke sesi baharu persekolahan dengan berpakaian jubah sebagai menentang larangan yang dikuat kuasakan kerajaan, baru-baru ini, menurut menteri, Gabriel Attal.

Katanya, selepas disekat masuk ke sekolah, kebanyakan mereka bersetuju untuk menukar jubah itu, namun 67 lagi enggan mematuhi larangan berkenaan dan telah dihantar pulang.

Bulan lalu, kerajaan mengumumkan pengharaman jubah di sekolah kerana melanggar peraturan sekularisme dalam pendidikan, selepas pemakaian tudung yang dianggap simbol kepada pegangan agama.

Tindakan itu menggembirakan golongan kanan politik, namun ditentang keras golongan kiri yang berpendapat ia menghina kebebasan awam.

Attal berkata, pelajar yang enggan mematuhi larangan telah diberikan surat kepada keluarga bagi menjelaskan bahawa sekularisme bukan halangan, sebaliknya ia adalah kebebasan.

Isnin lalu, Presiden Emmanuel Macron mempertahankan langkah kontroversi itu, dengan menegaskan terdapat minoriti di Perancis merampas agama dan mencabar republik serta sekularisme, yang membawa kepada akibat buruk.

Dia turut merujuk insiden pembunuhan guru Samuel Paty tiga tahun lalu kerana menunjukkan karikatur Nabi Muhammad ketika kelas pendidikan sivik.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button