Apa isu sebenar bukan Islam kritik laksana Modul Hadis 40?
Bukan untuk sekolah Cina, India jadi NGO bukan Islam tak perlu campur tangan

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 21 Safar 1445H, Khamis – Semua pihak khususnya orang Islam digesa supaya tidak meragui usaha kerajaan melaksanakan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi, meskipun wujud suara sumbang badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam yang menolak silibus itu.
Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim menegaskan bahawa pelaksanaan modul itu selari dengan Perlembagaan yang memperuntukkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Malah, tegasnya, modul berkenaan secara jelas dikhususkan pelaksanaannya di kalangan guru dan murid beragama Islam. tanpa membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan India.
Atas dasar itu, Zamani menggesa NGO-NGO bukan Islam yang lantang mengkritik usaha ini supaya tidak campur tangan dan berhenti mempolitikkan isu pelaksanaan modul berkenaan.
“Apa isu sebenarnya yang hendak disuarakan oleh NGO bukan Islam ini terhadap silibus Hadis 40? Ia bukan dilaksanakan di semua sekolah, tetapi hanya di sekolah agama.
“Saya menyeru dalam konteks ini, NGO-NGO bukan Islam jangan cuba campur tangan dalam isu yang ada termaktub dalam jaminan Perlembagaan negara kita. Apa masalahnya?
“Orang Islam hendak beramal dengan hadis nabi mereka, orang Islam hendak beramal dengan al-Quran, tiada salahnya dari undang-undang,” katanya dalam video yang dimuatnaik di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Zamani turut berharap supaya pelaksanaan silibus itu diterapkan sebaiknya dalam kalangan murid, meliputi kefahaman mengikut tafsiran sebenar oleh ulama-ulama hadis.
“Semangat ataupun bentuk susuk tubuh yang hendak dilahirkan oleh Hadis 40 itu mestilah lahir daripada kefahaman hadis yang sebenar.
“Jadi apa sahaja pentafsiran yang dibuat oleh ulama hadis terhadap Hadis 40, itulah sepatutnya difahami oleh anak murid dan akhirnya akan munc susuk tubuh yang benar-benar tepat mengikut kefahaman hadis itu.
“Bukannya kefahaman yang dibuat mengikut kepala atau kepentingan individu, parti, kumpulan tetapi ia adalah kepentingan untuk umat Islam itu sendiri,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi akan dilaksanakan dengan melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.
Ia dilancarkan pada 19 Ogos dan diperkenalkan untuk memupuk kefahaman dan penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah.
Meskipun telah dijelaskan bahawa pelaksanaan modul itu hanya untuk guru dan pelajar beragama Islam, ia tetap menjadi polemik khususnya dalam kalangan bukan Islam sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.