Berita Utama

Isu 3R: PDRM nafi dicucuk hidung oleh pemimpin politik

Tak pernah sebelah mana-mana pihak, tindakan diambil tanpa pilih kasih: KPN

BANGI, 21 Safar 1445H, Khamis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan tanggapan pasukan tersebut ‘dicucuk hidung’ oleh pihak tertentu seperti pemimpin politik berhubung siasatan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Malah, PDRM menegaskan tidak pernah menyebelahi mana-mana pihak termasuk pemimpin politik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dalam isu 3R, bukan ahli politik sahaja yang akan dituduh, tetapi orang awam yang menyentuh isu berkenaan juga akan disiasat.

“Kita akan ambil tindakan tanpa rasa takut atau pilih kasih kepada sesiapa yang sentuh isu 3R sebagai contoh, kes fitnah melibatkan Menteri Besar Kedah.

“Kita tahan suspek yang merupakan orang awam pada tengah malam,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir merasmikan majlis penutup Simposium Forensik Kebangsaan ke-4 2023 di Maktab Polis Diraja Malaysia, hari ini.

Razarudin menegaskan, kerajaan terdahulu pimpinan Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga amat tegas dalam mengeluarkan larangan berkaitan 3R.

“Kita pernah dengan Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan bercakap tentang ini.

“Maknanya, mana-mana kerajaan yang memerintah, kita tidak mahu 3R dimainkan dan menjadi kacau bilau dalam negara.

“Bukan kita kena paksa, kena arah. Terutamanya saya cakap institusi diraja jangan diperkecilkan, difitnah, dihina khususnya sembilan Raja-raja Melayu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button