Kemasukan UA: Pelajar lepasan STPM boleh semak mulai hari ini
Semua tawaran muktamad, permohonan tukar program pengajian tidak dibenarkan

BANGI, 21 Safar 1445H, Khamis – Pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan sijil setaraf boleh menyemak keputusan permohonan ke universiti awam (UA) bagi sesi akademik 2023/2024 mulai hari ini.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata, keputusan boleh disemak secara dalam talian mulai hari ini, 7 September 2023 bermula 12 tengah hari hingga 16 September 2023, 5 petang ini.
Katanya, semakan boleh dibuat menerusi pautan https://jpt.utm.my; https://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.ums.edu.my dan https://jpt.umt.edu.my serta melaiui Aplikasi Mobile UPUPocket di telefon pintar.
“Pengesahan setuju termasuk tolak tawaran bermula pada 8 September hingga 16 September 2023 di laman web rasmi UA.
“Surat tawaran rasmi pula akan dikeluarkan oleh UA kepada yang berjaya dan boleh dicetak mulai 26 September 2022 setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hanya pemohon yang tidak berjaya mendapat tawaran program pengajian sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke UA dalam tempoh 10 hari mulai hari ini.
Katanya lagi, semua tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2023/2024 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan UA adalah tidak dibenarkan.
“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” katanya.
KPM memaklumkan sebarang pertanyaan boleh diajukan menerusi talian 03- 8870 8200 atau emel ke [email protected].