Selepas Abaya, kini Kimono pula dilarang Perancis
Dakwa pemakaian berkenaan bercirikan pegangan agama

LYON, 21 Safar 1445H, Khamis – Seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Perancis diarah pulang ke rumah berikutan memakai baju tradisonal Jepun, Kimono ke sekolah.
Tindakan itu diambil atas alasan pemakaian itu bercirikan keagamaan, lapor Anadolu.
Dalam kejadian itu, pengetua sekolah dilaporkan tidak membenarkan pelajar perempuan berusia 15 tahun tersebut ke sekolah selagi tidak menukar pakaian berkenaan.
Pelajar berkenaan yang beragama Islam hadir bersama kedua orang tuanya berkata pakaiannya tidak melambangkan sebarang pegangan agama.
Namun, pengetua itu bertegas bahawa peraturan ditetapkan bukan hanya membabitkan larangan memakai abaya atau jubah di sekolah tetapi juga ‘semua pakaian yang menunjukkan kaitan dengan agama.’
Terdahulu, seorang pelajar dari sekolah menengah sama dikenakan tindakan seripa kerana memakai kimono.
Peguam keluarga tersebut, Maitre Nabil Boudi berkata, pihaknya telah memfailkan aduan “diskriminasi atas dasar pegangan agama.”
Katanya, penghinaan itu mesti dihentikan dan pihak berkuasa kehakiman perlu segera mengambil kes ini memandangkan arahan yang diberikan oleh Menteri Pendidikan Perancis mewujudkan diskriminasi agama terhadap pelajar wanita. – Agensi