Berita UtamaDunia

GCC iktiraf negara Palestin, kutuk pencerobohan Israel

Majlis Menteri kutuk keganasan Zionis ke Masjid al-Aqsa

RIYADH, 22 Safar 1445H, Jumaat – Menteri Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mengesahkan pendirian mereka menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota, di tengah-tengah keganasan penceroboh Israel.

Dalam satu kenyataan pada sesi penutupan ke-57 di ibu negara Saudi, Majlis Menteri GCC mengutuk pembinaan berterusan unit penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki, kerana melanggar resolusi legitimasi antarabangsa, termasuk Resolusi Majlis Keselamatan PBB No 2334.

Selain itu, Majlis Menteri mengalu-alukan pengumuman kerajaan Australia mengenai hasratnya menggunakan istilah ‘wilayah Palestin yang diduduki’.

Pihaknya juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk mendesak pihak berkuasa Israel menyelesaikan konflik dengan cara yang memenuhi semua hak sah rakyat Palestin.

Majlis itu juga mengecam pencerobohan berulang oleh pegawai dan peneroka Israel ke halaman Masjid al-Aqsa.

“Pencerobohan seperti itu bukan sahaja pelanggaran kesucian Masjid al-Aqsa yang diberkati tetapi provokasi terhadap perasaan umat Islam.

“Ini adalah pelanggaran serius undang-undang antarabangsa dan status quo sejarah dan undang-undang di Al-Quds dan kesuciannya, ” kata kenyataan itu.

Majlis itu memuji keputusan Arab Saudi melantik duta bukan pemastautin ke negara Palestin dan konsulat jeneral di Al-Quds, sebagai kesinambungan pendirian negara-negara GCC dalam melindungi kesucian Islam dan menyokong perjuangan Palestin.

Ia juga mengalu-alukan kenyataan akhir sidang kemuncak tiga pihak Mesir-Jordan-Palestin – yang diadakan di bandar El Alamein di Mesir pada 14 Ogos 2023 – dan perbincangannya mengenai perjuangan Palestin berdasarkan perkembangan semasa di pendudukan wilayah.

Majlis turut menggesa negara anggota GCC dan masyarakat antarabangsa untuk terus menyokong aktiviti Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) sehingga semua pelarian Palestin pulang ke rumah mereka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button