Berita Utama

Halang modul Hadis 40 umpama diskriminasi hak orang Islam

Ketakutan kumpulan pendesak kerana faktor Islamofobia

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 22 Safar 1445H, Jumaat – Tindakan pihak tertentu menyekat pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi seolah mendiskriminasi hak golongan majoriti mengamalkan penghayatan Islam di negara ini.

Walhal, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan menjamin hak mutlak untuk ajaran Islam diterapkan kepada umatnya tanpa perlu berunding dengan agama lain.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Suhaib Ar-Rumy Selamat mengakui kecewa dengan sikap segelintir golongan bukan Islam yang bersungguh menghalang umat Islam di Malaysia mempelajari agama mereka sendiri.

Sedangkan katanya, apa yang dipelajari langsung tidak bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Ini juga boleh dikira tindakan diskriminasi terhadap majoriti rakyat di negara ini untuk mempelajari berkaitan hadis-hadis Rasulullah SAW.

“Agak malang semua ini berlaku setelah 66 tahun negara ini mencapai kemerdekaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengeluarkan lima hadis daripada modul asal Hadis 40 Imam Nawawi.

Arun yang juga seorang peguam mendakwa, tindakan KPM itu dimaklumkan kepadanya oleh Persatuan Hindu Sangam Malaysia (MHS).

Dakwanya, lima hadis dikeluarkan itu, termasuk hadis ke-8 daripada hadis 40 tersebut, kerana dianggap tidak selari dengan aspirasi perpaduan.

Polemik berkait pelaksanaan modul Hadis 40 Imam Nawawi tercetus selepas KPM memaklumkan program rintis itu dilaksana dengan membabitkan guru dan murid beragama Islam di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara. 

Ia dilancarkan pada 19 Ogos dan diperkenalkan untuk memupuk kefahaman dan penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah.

Meskipun telah dijelaskan bahawa pelaksanaan modul itu hanya untuk guru dan pelajar beragama Islam, ia tetap menjadi polemik khususnya dalam kalangan bukan Islam sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

Mengulas mengenai perkembangan isu itu, Ustaz Suhaib menyifatkan ketakutan tanpa asas terhadap pelaksanaan modul berkenaan hanyalah dimainkan beberapa kumpulan pendesak agama lain kerana faktor islamofobia.

“Mengapa mahu menghalang umat Islam mempelajari tentang agama mereka?

“Mengapa mahu mencampuri perkara-perkara yang berkaitan agama Islam dan hal-hal umat Islam?,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button