Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Khutbah minta hentikan fitnah terhadap kerajaan, Jais

Usaha halang dakwah, tutup sekolah agama di Selangor tak benar

BANGI, 22 Safar 1445H, Jumaat – Khutbah Jumaat mengingatkan umat Islam supaya jangan sesekali menerima sesuatu perkara tanpa bukti atau sokongan yang kukuh.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam khutbahnya berkata, setiap berita yang tidak disertakan dengan bukti atau dalil haruslah ditolak oleh setiap umat Islam.

“Sebagai muslim yang beriman, janganlah kita mengikut hawa nafsu dengan menokok tambah berita yang tidak benar. Ini menyebabkan individu dan ummah terjerumus ke dalam lembah kehancuran dan kemusnahan.

“Kita hendaklah menjauhi sikap suka membalas berita bohong dengan berita bohong yang lain dan membalas perkara yang dusta dengan perkara lain yang serupa,” katanya.

Khutbah berkata, sejak akhir-akhir ini, pelbagai fitnah dan cerita palsu yang telah dilemparkan serta disebarkan oleh pihak tertentu terhadap dasar dan tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan serta pihak berkuasa agama.

Ini termasuklah, dakwaan kononnya pihak kerajaan dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menghalang usaha-usaha dakwah apabila peruntukan undang-undang dan keputusan-keputusan Mais mengetatkan syarat keperluan tauliah mengajar di negeri itu.

Begitu juga dalam hal tindakan kerajaan dan pihak Mais serta Jais melaksanakan pemutihan sekolah-sekolah tahfiz swasta dan persendirian dengan mengarahkan pendaftaran bagi tujuan keseragaman kurikulum dengan mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Katanya, langkah-langkah yang diambil oleh pihak Mais dan Jais bagi menjamin keselamatan tempat tinggal dan tatakelola yang lebih baik serta keselesaan bagi para pelajar ini ditohmah sebagai suatu tindakan mahu menutup sekolah-sekolah agama.

“Tindakan kerajaan membuat penyusunan semula guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) turut telah digembar-gemburkan sebagai cara kerajaan mahu menutup sekolah-sekolah agama di Selangor.

“Adakah tuduhan-tuduhan liar ini adalah cara yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada kita semua?” soalnya.

Dalam hal ini, mimbar menegaskan, supaya segala fitnah serta tohmahan yang dilemparkan kepada kerajaan dan Jais dihentikan.

“Mimbar juga berpesan, sebelum membuat sebarang kenyataan dapatkanlah fakta yang tepat sebelum melontarkan sebarang tohmahan yang tidak berasas kerana dibimbangi perbuatan sebegini akan merisaukan para ibu bapa.

“Ia juga boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi agama dan pihak berkuasa agama khususnya di Selangor,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button