Berita Utama

PN boleh menang kalau ahli UMNO ‘swing’ sokongan

Pengundi muda tolak kerajaan perpaduan yang makin celaru: Shahidan

BANGI, 22 Safar 1445H, Jumaat – Perikatan Nasional (PN) yakin golongan muda dan ahli UMNO yang kecewa dengan kerjasama Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) dijangka beralih sokongan kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, esok.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, PN boleh membolot undi golongan muda, termasuk ahli UMNO kerana menolak kerajaan perpaduan yang semakin celaru ketika ini.

Beliau juga percaya, ahli UMNO di Johor menolak kerjasama yang membabitkan DAP, apatah lagi tiada calon parti itu bertanding pada PRK kali ini.

“Jadi penyokong UMNO akan buat undi protes, kalau orang UMNO ‘swing’ sokong PN, kita akan boleh menang di Pulai dan Simpang Jeram. Ini adalah cara untuk orang UMNO ajar mereka dengan menyokong PN.

“Di Simpang Jeram, orang muda di sana menyatakan sokongan kepada PN, termasuk orang UMNO walaupun mereka tidak berani tunjuk muka.

“Di sini pun sama, kalau pengundi muda kalih, kita akan menang di Pulai,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis berkata, tahap sokongan rakyat terhadap PN semakin baik dan mula dikesan sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila diterjemahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, bulan lalu.

“Saya tahu pengundi muda di sini termasuk orang UMNO juga sudah tidak sabar, menggigil tangan nak pangkah PN, sokonglah PN untuk kita mengajar mereka (PH-BN) ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button