Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Buat laporan jika jadi mangsa gangguan seksual dalam talian

Mangsa perlu bersuara kepada MCMC, PDRM kekang jenayah dari berleluasa

KUALA TERENGGANU, 24 Safar 1445H, Ahad – Mangsa gangguan seksual dalam talian atau alam maya digesa agar membuat laporan kepada pihak berkuasa, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Aiman Athirah Sabu.

Beliau berkata, kes gangguan seksual secara dalam talian didapati semakin meningkat susulan kepesatan perkembangan alatan komunikasi canggih dan media sosial.

Justeru katanya, mangsa perlu bersuara dan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengekang jenayah tersebut daripada terus berleluasa.

“Gangguan seksual bukan sahaja secara fizikal atau berdepan. Tetapi dengan cabaran gadget dan media sosial, ia telah melarat secara dalam talian.

“Komen-komen netizen di media sosial juga boleh jadi satu bentuk gangguan seksual. Kalau mangsa berasa tidak selesa boleh buat laporan kepada MCMC dan polis untuk tindakan lanjut diambil,” katanya pada program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Terengganu, hari ini.

Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata, jumlah kes gangguan seksual di Terengganu pada tahun lalu sangat rendah, iaitu 14 kes dengan satu daripadanya melibatkan kanak-kanak.

Bagaimanapun menurut beliau, situasi tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana kesan terhadap mangsa mungkin dalam jangka masa panjang.

“Tahun lepas¬† 477 kes gangguan seksual direkodkan di seluruh negara. Tetapi kita percaya jumlah sebenar lebih banyak kerana ramai yang tidak membuat laporan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Terengganu adalah lokasi kelapan penganjuran program tersebut dan akan diteruskan ke lima lagi lokasi iaitu Sabah, Kedah, Perak, Kuala Lumpur dan Johor sebelum akhir tahun ini.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button