Zahid Presiden UMNO pertama pecah tradisi hadir ke persidangan DAP
Pengerusi BN dijemput jadi tetamu kehormat selepas 66 tahun negara merdeka

BANGI, 24 Safar 1445H, Ahad – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi Presiden UMNO pertama yang memecahkan tradisi, apabila hadir ke Persidangan Kebangsaan DAP 2023 di Putrajaya, hari ini.
Kehadiran Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut melakar sejarah baharu buat DAP, kerana akhirnya menjemput pimpinan bekas seteru politiknya sebagai tetamu kehormat selepas 66 tahun negara merdeka.
Kehadiran Ahmad Zahid ke program DAP itu disambut oleh pemimpin parti berkenaan.
Persidangan itu pertama kali dianjurkan sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan dan BN (PH-BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Antara ahli politik lain yang adalah Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook; Setiausaha Penganjur DAP, Steven Sim Chee Keong; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Selain itu, pimpinan komponen PH iaitu Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Saraswathy Kandasami turut hadir ke persidangan berkenaan.
Ini termasuk pemimpin daripada Parti Amanah Negara (Amanah) iaitu Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalannya, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.
Sebanyak 1,530 wakil cawangan dari seluruh negara dan melibatkan 3,868 perwakilan menghadiri persidangan itu. Jumlah itu penglibatan itu mencatatkan peningkatan berbanding kongres DAP tahun lalu.
4 September lalu, DAP memaklumkan parti itu menjemput BN, UMNO dan MCA pada Persidangan Kebangsaan DAP 2023.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim berkata, turut dijemput adalah parti-parti komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan yang mentadbir negara ketika ini.