43 terbunuh serangan udara di pasar Khartoum
Tentera Sudan nafi dakwaan RSF lancar serangan

KHARTOUM, 25 Safar 1445H, Isnin – Sekurang-kurangnya 43 orang terbunuh dalam serangan udara di pasar di ibu negara Sudan, Khartoum, pada Ahad.
Dalam satu kenyataan, Sudan Doctors Syndicate berkata, seramai 55 orang turut cedera dalam serangan yang menyasarkan pasaran terbuka di perkampungan Mayo di Khartoum Selatan.
Kumpulan aktivis Emergency Room sebelum ini meletakkan angka kematian akibat serangan udara itu ialah 40 orang.
Masih belum jelas dalang di sebalik serangan udara itu.
Serangan itu berlaku di tengah-tengah pertempuran sengit antara tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di ibu negara.
Bagi pihaknya, RSF menuduh tentera melakukan serangan udara di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, tentera Sudan menyangkal tuduhan itu, menyebut dakwaan tersebut sebagai mengelirukan dan palsu.
“Kami hanya menyasarkan serangan kami kepada kumpulan dan stesen musuh di kawasan yang berbeza,” kata jurucakap tentera Sudan, Brigedier Jeneral Nabil Abdallah.
Menurut pegawai perubatan tempatan, lebih 3,000 orang awam terbunuh dan ribuan lagi cedera dalam pertempuran antara tentera dan kumpulan separa tentera sejak April.
Beberapa perjanjian gencatan senjata yang diuruskan oleh pengantara Arab Saudi dan Amerika Syarikat telah gagal menamatkan keganasan di negara itu. – Agensi