Hubungan Isham Jalil, Anthony Loke dingin?
Harap takkan sampai Anthony ingatkan UMNO menang atas ihsan undi DAP

BANGI, 25 Safar 1445H, Isnin – Hubungan antara Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil dengan seorang Ahli Parlimen DAP kelihatan dingin seolah tidak sependapat mengenai keputusan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meninggalkan blok kerajaan.
Sebelum ini, Syed Saddiq mengumumkan keluar daripada blok kerajaan untuk menjadi pembangkang sebagai kuasa ketiga.
Menurutnya, antara sebab utama keputusan itu dilakukan adalah disebabkan keputusan kerajaan baru-baru yang bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Keputusan Peguam Negara yang telah melepaskan tanpa membebas Datuk Seri Zahid Hamidi terhadap 47 kes pertuduhan tanpa sebarang penjelasan yang menyakinkan telah menimbulkan banyak tanda tanya kepada rakyat secara umum.
“Ini melanggar prinsip kerajaan Madani yang ingin melawan rasuah,” katanya.
Rentetan itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengingatkan Syed Saddiq bahawa kemenangan Muda di Parlimen Muar adalah kerana ihsan Pakatan Harapan (PH), yang sanggup memberi laluan kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Isham menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Seremban itu bukan perkara baharu kerana pernah disuarakan apabila dia mengingatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kemenangan Ahli Parlimen Pagoh itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dahulu adalah juga hasil sokongan pengundi Pakatan Harapan (PH).
“Tadi (semalam) Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengingatkan Syed Saddiq kemenangan kerusi Parlimen Muda adalah kerana ihsan Pakatan Harapan dan undi DAP, ini bila Syed Saddiq kata dia ingin keluar kerajaan.
“Dulu dia (Anthony Loke) juga pernah ingatkan Muhyiddin yang Muhyiddin menang di Pagoh pada PRU14 sebab undi DAP.
“Harap tidak akan tiba masanya bila DAP dan Anthony Loke ingatkan UMNO pula yang UMNO menang atas ihsan undi DAP,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Untuk rekod, Isham sebelum ini menegaskan, kenyataan pemimpin DAP bahawa mereka menjunjung Perlembagaan dan pada masa sama memperjuangkan Malaysian Malaysia adalah bercanggah.
Katanya, mereka tidak boleh menjunjung Perlembagaan tetapi pada masa sama memperjuangkan Malaysian Malaysia kerana ideologi itu tidak selari atau tidak ‘compatible’ dengan Perlembagaan negara.
Kenyataan itu selepas Anthony Loke menegaskan tiada keperluan untuk partinya menggugurkan slogan Malaysian Malaysia seperti didesak sesetengah pihak.