Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Artikel Khas

Keluarkan pendapat, kebebasan bersuara sama dengan menentang kerajaan?

Fatamorgana politik memang mengkhayalkan dan menjanjikan harapan palsu

TERDAPAT segelintir orang-orang Melayu yang mentaliti mereka terperosok dalam penjara ketaksuban apabila mengeluarkan sesuatu pendapat atau pandangan tertentu akan dianggap atau dilabel sebagai ‘menentang’ kerajaan atau kepimpinan negara.

Kelibat mereka sangat ketara di dalam media sosial dan interaksi alam maya apabila terdapat bantahan, teguran atau kritikan terhadap sesuatu dasar atau polisi yang diperkenalkan oleh kerajaan, yang didapati merugikan atau membelakangi kepentingan umat dan bangsa, lebih-lebih lagi kalau ia menyentuh sudut politik kepartian.

Seolah-olah parti politik atau pemimpin negara adalah kebal dan ‘maha qudus’, yang tidak boleh dikritik, ditegur, dipertikaikan atau dimuhasabah.

Demikian juga yang dapat diperhatikan di kalangan sebahagian umat Islam (termasuk kumpulan aktivis Islam) yang terlalu taksub kepada kepimpinan negara sehingga merasa tersinggung dan koyak apabila parti politik yang bersama-sama membentuk kerajaan hari ini, khususnya DAP digambarkan dalam bentuk yang negatif dalam isu-isu yang melibatkan kedudukan Islam, kepentingan umat Islam dan juga masa depan bangsa Melayu.

Mereka tidak dapat menerima sekiranya parti DAP menjadi titik sorotan dan pemerhatian radar umat Islam dan seringkali akan bertindak sebagai hulubalang alam maya yang ikhlah dan bersungguh-sungguh cuba mempertahankan parti ini dari serangan pihak-pihak luar dari kalangan umat Islam sendiri.

Kalimat-kalimat seperti “Apakah dosa DAP terhadap kamu?”, “Kenapa terlalu buruk sangka terhadap DAP?”, “Perlembagaan menjamin hak sama rata”, “Jangan jadi rasis!” … adalah antara balasan dan komen yang sering dilontarkan oleh gerombolan “apologetik”, yang merasa sempitnya hidup mereka kalau DAP dan pemimpin-pemimpin politik pujaan tidak dipertahankan.

Kepada golongan ini, elok sahaja berterus terang bahawa umat Islam tidak takut atau gerun terhadap parti rasis cauvinis DAP ini, tetapi sangat berhati-hati dan berwaspada akan agenda parti ini yang tidak pernah berubah dan tetap konsisten sepanjang kewujudannya.

Bukan lagi satu rahsia umum bahawa tindakan PAS bertahaluf dengan DAP selama 15 tahun merupakan satu malapetaka kepada umat Islam. Dengan wujudnya Tahaluf Siyasi ini, kewaspadaan terhadap agenda DAP mula cair, prasangka menjadi kurang dan pemimpin-pemimpin DAP dijulang bagaikan pejuang, seolah-olah hati mereka mulai “jinak” terhadap Islam.

Meskipun demikian, setidak-tidaknya Tahaluf Siyasi antara PAS dan DAP ini disisipkan dengan hujah Syari’at (meskipun hujahnya lemah dan banyak syarat yang dikenakan).

Kita ingin tanya: Di mana suara kumpulan “apologetik Islamis” ini ketikamana PAS bertahaluf dengan DAP sepanjang tempoh 15 tahun itu?

Kita menyangka derita dan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh umat Islam dan bangsa Melayu akan berakhir setelah PAS menamatkan zaman Tahaluf Siyasi mereka bersama DAP, tetapi sangkaan tersebut meleset. Kali ini, “semangat” itu diambilalih dan diteruskan oleh UMNO pula!

Sekali lagi, umat Islam dan bangsa Melayu diperdaya dan dimangsakan. Bangsa Melayu tidak pernah belajar dari kesilapan, kecuaian dan kelalaian masa lampau.

Perkembangan ini lebih parah, oleh kerana UMNO langsung tidak ada sebarang dalil atau hujah untuk menyokong dan meyakinkan umat Islam tentang tindakan tersebut. Dalam ketiadaan hujah, penjelasan yang paling munasabah ialah keputusan bekerjasama ini didorong semata-mata dari tamak haloba untuk kekal berkuasa dan mempertahankan kedudukan politik yang goyah dan rapuh. Dan UMNO tidak pernah jujur megenai kesatuan dan kesepakatan antara umat Islam.

Sekali lagi, di mana suara kumpulan “apologetik Islamis” ini ketikamana UMNO pula “bertahaluf” dengan DAP?

Saya berpandangan bahawa pandangan mata dan kesedaran akal mereka telah terselindung oleh satu lapisan “glaucoma” yang menghalang mereka dari melihat hakikat agenda perjuangan DAP dan juga ideologi-ideologi perosak yang seangkatan dengannya.

Mereka juga telah di”rasuk” secara halus bahawa sesiapa yang menegur kepincangan, salahlaku, salahguna kuasa, penyelewengan dan kecuaian pemerintah adalah satu penentangan terhadap kerajaan yang mendapat mandat oleh para pengundi dan sah dilantik oleh Yang Dipertuan Agong, dan justeru itu perlu diawasi dan dipantau.

Kumpulan ini bagaikan di”tidur”kan dari episod demi episod kecuaian, pengabaian dan keterlanjuran pihak pemerintah, ancaman ideologi-ideologi sosialis, liberalisme, atheisma, sekularisme dan yang seumpamanya, yang sedang menyusun geraklangkah untuk merosakkan dan menyesatkan umat.

Malang sekali, apa yang sebenarnya kaca dianggap intan di sisi mereka. Kita belum pernah mendengar kritikan, kecaman dan teguran kumpulan terhadap usaha-usaha untuk meracuni dan merosakkan pemikiran dan jatidiri umat Islam sehebat dan seghairah mereka mempertahankan parti-parti poltik yang rasis dan cauvinis ini. Apakah manfaat dan “ghanimah” yang mereka nikmati hasil dari menyokong parti DAP dan penyimpangan pemerintah ini “worth spending the rest of your life for”?

Kita ingin tanya lagi, adakah mengkritik parti DAP yang rasis cauvinis itu satu kesalahan jenayah yang boleh didakwa di bawah Akta Hasutan?

Sesuatu pemerintahan yang yakin kepada kekuatan diri sendiri tidak akan terjejas dengan kritikan, teguran dan nasihat daripada rakyat dan warganya. Ia tidak aan menyekat kebebasan berpendapat dan bersuara, melalui pelbagai sekatan dan operasi undang-undang.

Ia malah sepatutnya meraikan maklumbalas dan muhasabah dari rakyat, supaya perasaan saling percaya mempercayai dapat diwujudkan. Ia seharusnya berperanan sebagai seorang ayah yang menyayangi dan mengambil berat terhadap kebajikan anak-anaknya, bukan seorang ketua yang bengis, zalim dan cenderung menghukum sewenang-wenangnya.

Sebelum dilupakan, peranan umat Islam bukan sekadar menjadi entiti yang sekadar mentaati pemerintah secara membabi buta atau menutup mata terhadap penyelewengan pemerintah. Ia termasuk juga mencegah kemungkaran menentang ancaman serta-ideologi kepalsuan ajaran-ajaran atau ideologi yang mengancam umat dan masa depannya.

Rakyat, umat dan bangsa juga kerkewajiban untuk sentiasa menasihati dan menyedarkan pihak pemerintah akan tanggungjawab sebenar mereka, sebagaimana yang diterangkan dengan jelas sekali dalam Surah Al Hajj ayat 41:
“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar maha Kuat lagi Maha Perkasa. (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka akan mendirikan Solat, menunaikan Zakat, menyeru kepada yang Ma’ruf, mencegah dari yang Mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan.”

Inilah 5 pasak pemerintahan yang saya pernah menulis tentangnya sebelum ini: https://www.facebook.com/mohd.luttfi/posts/pfbid02fP2a4LBANwtZFf7iH4gBXUXt7eix1AWdDCfV3ibmzANAUckmFHMwBead275aL3K7l

Baik siapapun yang menjadi pemerintah ke atas umat Islam, itulah kayu ukur perlaksanaan tanggungjawab kepada Allah SWT.

Sekiranya pemerintah enggan, cuai atau lalai dari menunaikan kewajipan agama ini, maka umat Islam wajib menegur dan mengingatkan pihak pemerintah supaya kembali memikul beban dan amanah ini. Peranan ini tidak boleh diserahkan kepada bukan-Islam ataupun parti-parti DAP, MCA, Gerakan, atau MIC. Sudah pasti bukan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST).

Perkara ini melibatkan isu akidah umat dan bantuan Allah yang sangat berkait dengan akhlak, pemerintahan, dosa pahala dan kesan akibat di Akhirat kelak.

Semua orang sedia maklum bahawa negara kita mempunyai undang-undang, maka sudah tentulah kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat mesti dihayati dalam ruang lingkup yang dibenarkan undang-undang. Bagaimanapun, undang-undang perlu dilaksanakan secara adil dan telus, tanpa menindas, menafikan hak atau bersifat selektif.

Sesiapa yang melanggar undang-undang, dakwalah mereka. Sekiranya sudah sabit pendakwaan terhadap seseorang dengan segala bukti, keterangan dan persaksian, maka hukumlah mereka. Sesiapa yang cuba memporak perandakan kesatuan dan perpaduan rakyat, maka hadapkanlah pihak itu ke mahkamah. Buat apa ada undang-undang kalau bukan untuk menjaga ketenteraman awam dan keselamatan hidup rakyat.

Bagaimanapun, jangan disekat kebebasan bersuara atau hak untuk menasihati dan menegur (termasuk mencegah kemungkaran) hanya kerana ia ditujukan kepada rakan-rakan politik, pemimpin atau parti yang memerintah. Ataupun kerana polisi atau dasar yang diperkenalkan ditolak atau ditentang oleh rakyat.

Ketika parti-parti politik yang membentuk kerajaan yang memerintah hari ini menjadi pihak pembangkang satu masa dahulu, bukankah mereka yang paling konsisten dan lantang mengkritik pihak kerajaan dan parti yang memerintah, dengan siri-siri demonstrasi jalanan, tuntutan dan desakan, diisi dengan aksi-aksi provokasi ekstrim dan disuntik dengan dana luar serta mendapat liputan seluruh dunia?
Sudah lupakah?

Kemanakah dicampakkan semua “perjuangan yang berprinsip” yang selalu dicanang dan dimegahkan itu?

Tidak ada siapapun yang mahu melihat satu episod panjang “kezaliman” digantikan dengan episod “kezaliman” baru yang lain.

Kepada kumpulan “apologetik Islamis” yang begitu terasa disakiti dengan teguran, kritikan dan muhasabah terhadap tokoh, parti atau pemimpin politik kesayangan anda semua, saya ingin katakan:

“Fatamorgana politik memang mengkhayalkan dan menjanjikan harapan palsu. Keikhlasan dan kejujuran yang dinanti-nantikan dari mereka itu tidak akan jatuh ke pangkuan anda. Jangan cuba menipu diri sendiri!”

Mohd Luttfi Abdul Khalid
Penasihat Persatuan Ikatan Sivil Dan Syariah Malaysia (iPeguam)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button