Berita Utama

Kes Zahid: ‘Speaker’ didakwa mungkir janji

Kerajaan sekali lagi berbohong secara terbuka kepada rakyat

BANGI, 25 Safar 1445H, Isnin – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul didakwa memungkiri janji untuk memberi ruang bercakap mengenai usul tergempar berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Johari terlebih dahulu membenarkan usul berkenaan di bawa selepas berjanji untuk memberi ruang selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12.

“Kami tak sangka di Dewan Rakyat, di dewan mulia ini dengan seluruh rakyat Malaysia menonton bahawa kami akan diberi peluang untuk membentangkan usul 18 (1) selepas pembentangan Perdana Menteri, tiba-tiba kami tidak dibenarkan.

“Kami juga tidak diberitahu sama ada esok boleh bawa atau tidak.

“Tetapi yang paling penting, pusingan pertama rakyat Malaysia boleh melihat selepas sahaja pembentangan ini, kerajaan sekali lagi berbohong secara terbuka kepada rakyat janji nak bagi bahas, tiba-tiba tak boleh bahas,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal meluahkan rasa kecewa dan mendakwa tindakan Johari itu adalah kerana mendapat arahan baharu.

“Kami nak tanya apa yang nak takut dan nak disorokkan? Apa yang kebal sangat untuk kita bahas perkara ini? Ini melibatkan kepentingan ramai dan keadilan di negara kita.

“Kami dah ikut peraturan iaitu menunggu sehingga Anwar habis bentang tapi malangnya Speaker mungkir janji,” katanya.

Jumaat lalu Wan Ahmad Fayhsal mengemukakan notis usul tergempar dan meminta sidang Dewan Rakyat ditangguhkan supaya memberi laluan kepada Peguam Negara memperjelaskan berkaitan keputusan bebas tanpa lepas kes Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, beliau memohon sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat bagi memberi laluan kepada usul tersebut.

Pautan berkaitan:
https://ismaweb.net/2023/09/08/mp-machang-kemuka-usul-bincang-keputusan-dnaa-zahid/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button