Sukarelawan asing terkorban serangan peluru berpandu di Ukraine
Lebih 100 insiden keselamatan jejaskan saluran bantuan

KYIV, 25 Safar 1445H, Isnin – Dua sukarelawan asing dilaporkan terkorban manakala dua lagi cedera dalam serangan peluru berpandu di timur Ukraine.
Emma Igual yang merupakan Pengarah Road to Relief Sepanyol dan rakannya dari Kanada, Anthony Ilhat disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Bakhmut.
Selain itu, dua wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut, Ruben Mawick dan Johan Marthias Thyr, seorang warganegara Sweden mengalami kecederaan parah selepas terkena serpihan peluru.
Badan NGO itu berkata, mereka terkena serpihan peluru menyebabkan kenderaan yang dinaiki terbalik sebelum terbakar.
Kesemua sukarelawan menaiki sebuah kenderaan dalam perjalanan ke Bakhmut bagi menilai keperluan orang ramai yang terperangkap dalam pertempuran di bandar Ivaniike.
Road to Relief telah didaftarkan di Ukraine tahun lepas bagi membantu memindahkan orang awam yang terlibat dalam peperangan.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Ukraine menyalahkan pengganas Russia dalam serangan berkenaan dan perlu bertanggungjawab.
Laporan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, terdapat 100 insiden keselamatan yang menjejaskan bantuan dan kerja sukarelawan. – Agensi