Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Dunia

480 pelajar Palestin tak sekolah bantah guna kurikulum Israel

Ibu bapa tuntut buka bangunan sekolah baharu, ajar kurikulum Palestin

RAMALLAH, 26 Safar 1445H, Selasa – Kira-kira 480 pelajar di Sekolah Teknologi Al-Sala’a di Baitulmaqdis Timur tidak bersekolah sejak awal tahun bagi sesi akademik baharu.

Kejadian itu ekoran ibu bapa membantah rancangan perbandaran pihak berkuasa pendudukan mengenakan kurikulum Israel.

Jawatankuasa Ibu Bapa Pelajar telah menganjurkan protes setiap hari di hadapan sekolah bagi menuntut kurikulum Palestin diguna pakai dalam silibus mereka.

Ketua Jawatankuasa Pusat Ibu Bapa Pelajar untuk Sekolah Jabel Mukaber, Ahmad Jaabis berkata, bangunan sekolah lama itu tidak boleh menerima pelajar di peringkat menengah, manakala bangunan baharu dibuka majlis perbandaran di Baitulmaqdis Barat pula menuntut mengguna pakai kurikulum Israel.

Oleh itu, keluarga pelajar Palestin memutuskan untuk menutup kedua-dua sekolah.

Jaabis berkata, keluarga pelajar menuntut bangunan baharu itu dibuka dan kurikulum Palestin diajar di sekolah berkenaan.

Minggu lalu, polis Israel merampas buku kurikulum Palestin daripada sebahagian pelajar di luar Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis ketika mereka menuju ke Sekolah Syariah dan Tadika Riyad Al-Aqsa.

Anggota polis menggeledah beg pelajar dan kemudian merampas sejumlah buku yang mengandungi bendera Palestin.

Selama bertahun-tahun, Israel cuba menghalang kanak-kanak Palestin di Baitulmaqdis daripada mengikuti kurikulum Palestin, dan memaksa mereka menggunakan kurikulum Israel – yang memberikan pandangan menyimpang mengenai penjajahan rejim di tanah Palestin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button