Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Gempa bumi: Agong, Permaisuri zahir takziah kepada Maghribi

Doakan mangsa terperangkap runtuhan dapat diselamatkan segera

BANGI, 26 Safar 1445H, Selasa – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa korban gempa bumi di Maghribi, pada Jumaat lalu.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut catatan di Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita di atas kehilangan ribuan nyawa dalam tragedi itu dan berharap seluruh keluarga mangsa sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh-roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada Raja Mohammed VI, Kerajaan Maghribi dan rakyatnya atas musibah yang telah melanda dengan kehilangan nyawa ribuan rakyat dan kerosakan harta benda serta infrastruktur,” menurut Istana Negara.

Dalam tempoh kesedihan ini, Istana Negara memaklumkan, Seri Paduka berdua dan Malaysia bersolidariti dengan rakyat Maghribi serta mendoakan mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan akibat tragedi itu dapat diselamatkan dengan segera dan yang tercedera dikurniakan kesembuhan.

Sehingga kini, dilaporkan angka kematian terus meningkat kepada 2,862 orang, manakala 2,500 yang lain cedera dalam gempa bumi dahsyat berukuran 6.8 magnitud.

Kejadian yang berlaku pada malam Jumaat itu memusnahkan banyak bangunan termasuk kerosakan pada bandar Marrakech, tapak Warisan Dunia UNESCO.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button