Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Kerajaan mesti serius tangani Islamofobia

Bantah apa saja penindasan atas nama sekularisme

Oleh Zuhayati Yazid

SHAH ALAM, 26 Safar 1445H, Selasa – Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) berharap Kerajaan Madani mengambil serius untuk menangani isu Islamofobia dan hak asasi umat Islam di negara ini.

Pengerusi MACSA, Lukman Sheriff Alias berkata, pihaknya sentiasa memantau isu-isu hak asasi yang melibatkan umat Islam termasuklah isu larangan bertudung, larangan solat Jumaat, kesukaran membina surau dan masjid di Sabah dan Sarawak.

“Kami mengambil pendekatan nilai-nilai hak asasi manusia sekali pun bersifat universal, mesti sentiasa akur dan mengikut acuan setempat dari segi implementasi dan undang-undang.

“Sensitiviti masyarakat serta nilai agama tidak wajar dikesampingkan atas alasan mengikut nilai universal yang mengikut negara Barat,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, isu Islamofobia perlu ditangani dengan tuntas sebagai tanda membantah penindasan ke atas umat Islam atas nama sekularisme.

“Hal demikian bukan hanya diselesaikan dalam negara tetapi perlu disuarakan ke peringkat antarabangsa dan mendapat pengetahuan pihak bertanggungjawab terutama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kita perlu mengangkat isu ini agar satu dunia cakna dengan masalah Islamofobia dan faham terhadap penindasan yang dialami selama ini,” katanya.

Meskipun penyelesaian isu tersebut hanya boleh dilakukan di peringkat negara sendiri, namun perbincangan di peringkat global mampu menghimpunkan permasalahan yang turut dilalui negara Islam yang lain.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Buku Laporan UPR (Universal Periodic Review) bagi pusingan ke-4 di Shah Alam, hari ini.

UPR adalah satu mekanisme oleh Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) di mana rekod hak asasi manusia kesemua 192 Negara Anggota dinilai semula setiap empat setengah tahun.

UPR diwujudkan oleh Persidangan Umum PBB di bawah Resolusi 60/251 pada 15 Mac 2006.

Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia dalam Proses UPR (MACSA) dengan keanggotaan 60 ahli persatuan telah ditubuhkan bagi membantu Kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan memberi gambaran lebih tepat dan adil berhubung usaha mempromosi dan mempertahankan hak asasi manusia menurut Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR 1948); tanpa membelakangkan realiti sejarah, latar belakang sosio-budaya serta tuntutan semasa negara Malaysia yang berdaulat, menurut acuan Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan undang-undang sivil dan syariah sedia ada.

MACSA telah mengambil bahagian secara langsung semenjak penubuhannya khususnya dalam memberikan input pada UPR pusingan kedua dan ketiga.

Untuk Pusingan Keempat (2023-2027), MACSA bakal memberikan tumpuan kepada isu Marginalisasi Komuniti daripada Pembangunan Ekonomi, Sosial dan Budaya; Diskriminasi berasaskan Kepercayaan; Wanita, Kanak-Kanak dan Keluarga; Hak Banduan dan Pekerja; serta Perpaduan Nasional dan Kebebasan Bersuara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button