Pihak dakwa ‘Cina takut Islam dibawa PAS’ buta sejarah
Ramai masih dihantui pembohongan propaganda orientalis berniat jahat

BANGI, 26 Safar 1445H, Selasa – Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan golongan Melayu yang mendakwa kaum Cina takut terhadap Islam yang dibawa oleh PAS, sebagai golongan yang buta sejarah mengenai agama sendiri.
Presiden PAS itu mendakwa, kenyataan yang dikeluarkan itu menunjukkan kejahilan dirinya atau fikirannya yang masih dijajah.
“Sehinggakan perbuatan itu laksana kata-kata pantun Melayu. Melukut di tepi gantang, buka sanggul mencari kutu, orang takut akalnya hilang, jumpa tunggul dikata hantu.
“Mereka boleh mengikuti DAP yang sesat prinsipnya atau hanyut tanpa konsisten dalam perjuangan menentang rasuah yang kuat dilaungkan selama ini, semata-mata kerana mengejar kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, golongan itu sudah menyaksikan bagaimana negeri-negeri yang kuat pengaruh PAS atau diperintah oleh PAS, namun mereka sengaja menunjukkan kebebalan, sengaja membodohkan diri sendiri atau mencipta sangkaan jahat.
“Sebenarnya ramai kalangan mereka yang dihantui oleh pembohongan propaganda orientalis yang berniat jahat. Dan kini, membawa propaganda Islamofobia bagi menghalang pengaruh Islam yang dianggap menjadi suatu ancaman khusus kepada tamadun barat yang kini sedang menunjukkan tanda merudumnya.
“Segala propaganda itu terdedah melalui kenyataan negatif beberapa orang tokoh ilmuwan dan tokoh politik Barat yang dipengaruhi penulisan golongan orientalis yang penuh dengan pembohongan dan propaganda Islamofobia secara dengki terhadap Islam atau jahil, bukan secara ilmu bagi mencari kebenaran,” katanya.