Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Dunia

UNHRC bincang siri serangan terhadap al-Quran pada 6 Oktober

30 insiden bakar al-Quran manifestasi pecahkan masyarakat, negara

GENEVA, 26 Safar 1445H, Selasa – Insiden siri serangan terhadap al-Quran yang berterusan berlaku di Sweden dan Denmark akan dibincangkan dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) pada 6 Oktober ini.

Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk memaklumkan demikian ketika sesi pembukaan Majlis Hak Asasi Manusia ke-54 di Geneva, yang dimulakan dengan bertafakur serta bersolidariti ke atas kejadian gempa bumi dahsyat di Maghribi.

Turk berkata, dunia sedang menyaksikan politik perpecahan dan gangguan seperti penciptaan debat rekaan mengenai jantina atau membayangkan pertembungan tamadun.

“Siri menjijikkan kira-kira 30 insiden pembakaran al-Quran baru-baru ini adalah manifestasi terbaru desakan untuk berpolarisasi dan berpecah-belah – bagi mewujudkan perpecahan dalam masyarakat dan antara negara,” katanya.

Beliau berkata, siri serangan itu akan dibincangkan secara mendalam pada 6 Oktober depan, selaras dengan resolusi 53/1 PBB.

Dalam sesi Majlis Hak Asasi Manusia pada bulan Julai lalu, Turk menggesa negara-negara anggota untuk memerangi serangan perbezaan agama untuk tujuan politik.

“Kejadian ini dan lain-lain nampaknya dibuat untuk menyatakan penghinaan dan menyemarakkan kemarahan bagi mendorong perpecahan antara manusia dan mencetuskan serta mengubah perbezaan perspektif kepada kebencian dan mungkin keganasan,” katanya.

Tidak kira sama ada undang-undang membenarkan atau tidak, Turk berkata, semua pihak seharusnya menghormati satu sama lain tanpa mengira kepercayaan agama.

Tokoh dan kumpulan Islamofobia di Eropah Utara dalam beberapa bulan kebelakangan ini, berulang kali melakukan pembakaran al-Quran dan percubaan sama untuk mencemarkan kitab suci umat Islam itu, sehingga menimbulkan kemarahan negara Islam dan dunia. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button