Berita Utama

MP Sri Aman syor perkenal semula GST

Berkesan di 175 negara, cuma Malaysia saja patah balik

BANGI, 27 Safar 1445H, Rabu – Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selepas dimansuhkan Pakatan Harapan (PH) pada 1 Jun 2018.

Cadangan itu disuarakannya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau mengakui bersetuju dengan cadangan beberapa pihak sebelum ini supaya sistem percukaian GST diperkenalkan semula untuk meluaskan lagi asas pendapatan negara.

“GST terbukti berkesan kerana kesemua 175 negara yang telah melaksanakan GST ini, tiada satu pun yang berpatah balik kecuali Malaysia pada ketika dahulu.

“Mohon pendapat kementerian berkenaan perkara ini,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Isnin lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, kerajaan tidak menolak untuk memperkenalkan semula GST yang telah dimansuhkan sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan akan mengutamakan strategi untuk meluaskan sumber hasil negara termasuk fokus membangunkan Cukai Keuntungan Modal, yang dijadualkan dilaksana pada 2024.

Malaysia beralih kepada GST ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada 1 April 2015, dengan kadar enam peratus yang dikritik pembangkang serta kumpulan pengguna.

GST kemudiannya digantung pada 1 Jun 2018 dan akhirnya dimansuhkan apabila ia digantikan dengan sistem SST (cukai jualan dan perkhidmatan) bermula 1 September 2018.

Kadar cukai semasa bagi cukai jualan adalah lima peratus dan 10 peratus, manakala kadar cukai perkhidmatan ialah enam peratus.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button