Berita Utama

Wakil rakyat digesa pinda Perlembagaan, beri kuasa DUN gubal undang-undang syariah

Segera pinda sebelum peruntukan jenayah syariah lain dicabar, dibatal kelak

BANGI, 28 Safar 1445H, Khamis – Wakil rakyat digesa melakukan pindaan kepada peruntukan undang-undang berkaitan bagi membolehkan kuasa yang lebih luas kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal peruntukan kesalahan jenayah syariah.

Perkara itu dituntut 10 NGO dalam kenyataan bersama iaitu Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis Perundingan Melayu (MPM), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ikatan Muslim Malaysia (ISMA), Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Allied Coordinating Council of Islamic NGOs (ACCIN) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

“Kami NGO-NGO menyusul dan mendukung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM), Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, dan menyeru semua wakil-wakil rakyat meminda Perlembagaan dengan segera yang mungkin sebelum peruntukan jenayah syariah lain dicabar dan dibatalkan kelak.

“Kami juga ingin menggesa kerajaan, susulan titah Tuanku, untuk segera menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menyelesaikan kemelut tekanan ke atas bidang kuasa DUN dalam menggubal peruntukan berkaitan dengan kesalahan jenayah syariah bagi orang Islam.

“Pihak kami menaruh keyakinan Perdana Menteri berikutan titah Tuanku untuk menyelesaikan polemik dan tekanan-tekanan ke atas isu kepentingan syariah di dalam negara dalam tempoh yang terdekat,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Sultan Selangor bertitah satu Jawatankuasa Khas perlu segera ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal mengenai kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam di bawah Enakmen negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah ini berikutan kebelakangan ini banyak kes yang sedang dibicarakan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dicabar di Mahkamah Persekutuan.

Titah baginda, Jawatankuasa Khas itu perlu mengemukakan cadangan pindaan terhadap undang-undang yang berkaitan termasuklah peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan supaya satu penyelesaian menyeluruh terhadap isu-isu itu dapat dibuat.

“Jawatankuasa Khas ini hendaklah dianggotai oleh pakar undang-undang Perlembagaan, undang-undang sivil dan Syariah serta ahli-ahli akademik.

“… tidak ketinggalan pengamal undang-undang yang mempunyai kelayakan, kemahiran dan pengalaman yang luas dalam kedua-dua bidang undang-undang sivil dan Syariah,” titah baginda.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button